Rabu, 5 Jun 2024 | 3:53pm
Pan Gon (kiri) bersama Dion Cools pada sidang media menjelang aksi menentang Kyrgyzstan esok.
Pan Gon (kiri) bersama Dion Cools pada sidang media menjelang aksi menentang Kyrgyzstan esok.

Harimau Malaya ada kekuatan jinak Kyrgyzstan - Pan Gon

KUALA LUMPUR: Meskipun tanpa beberapa pemain penting, ketua jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan Gon tetap menaruh keyakinan Harimau Malaya mampu mencipta kejutan ke atas Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, malam esok.

Sedar bakal berdepan tugas sukar menentang pasukan di ranking 100 dunia, pengendali dari Korea Selatan itu bagaimanapun menjelaskan barisan pemain yang ada dalam skuad Harimau Malaya ketika ini mempunyai keinginan tinggi untuk meraih keputusan positif.

Beliau berkata, Harimau Malaya menaruh impian untuk melangkah lebih jauh dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dan merebut tiket awal ke Piala Asia 2027.

"Semua tahu ini perlawanan penentuan buat kedua-dua pasukan. Bagi pasukan Malaysia, kami sedar ia perlawanan yang sangat sukar.

"Kyrgyzstan pasukan berkualiti dan kami juga beraksi di tempat lawan. Namun semua itu bukan halangan kerana kami ada semangat dan keinginan untuk ke melangkah lebih jauh.

"Kami melakukan persiapan yang baik. Saya yakin dengan pasukan dan semua pemain pun yakin. Kami akan cuba berikan persembahan yang bagus esok dan mencari keputusan terbaik untuk rakyat Malaysia," katanya pada sidang media, hari ini.

Harimau Malaya kali ini tampil tanpa beberapa tonggak termasuk penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, dua pemain sayap Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi selain penyerang Romel Morales serta Darren Lok menimbulkan persoalan mengenai nasib skuad negara dalam perlawanan itu.

Harimau Malaya berada di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan sebelum ini selain tewas dua aksi berdepan Oman.

Kyrgyzstan yang berkongsi sembilan mata bersama Oman menghuni dua tangga teratas dengan kedua-dua pasukan itu memerlukan kemenangan untuk mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 dan layak ke Piala Asia 2027.

Sementara itu, kapten Harimau Malaya, Dion Cools percaya pemain yang dipanggil menyertai skuad kali ini juga memiliki keupayaan untuk membantu Harimau Malaya meraih keputusan yang baik berdepan Kyrgyzstan.

"Saya harap pemain yang cedera cepat pulih dan kita akan menggunakan pemain sedia ada. Tiada tekanan negatif atau takut, kami akan buat yang terbaik," katanya.

Berita Harian X