Selasa, 4 Jun 2024 | 7:30pm
Stadium Majlis Perbandaran Manjung bakal jadi venue untuk perlawanan Perak FC. - Foto MPM
Stadium Majlis Perbandaran Manjung bakal jadi venue untuk perlawanan Perak FC. - Foto MPM

Manjung bakal jadi 'rumah' Perak FC

IPOH: Pasukan Perak FC berkemungkinan besar akan menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebagai gelanggang rasmi pasukan itu bagi pusingan kedua Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata perubahan gelanggang itu disebabkan kerja menaik taraf Stadium Perak khususnya bagi menggantikan rumput padang bermula November depan.

Beliau berkata keputusan itu telah disepakati hasil mesyuarat melibatkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Perak FC, Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bulan lepas.

"Kita ada menerima beberapa cadangan dan di antaranya pasukan Perak FC akan menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebagai tempat perlawanan Perak FC hinggalah semua proses naik taraf selesai sepenuhnya.

"Manakala satu lagi cadangan adalah Perak FC akan bermain semua perlawanan di tempat lawan (tidak menjadi tuan rumah sebarang perlawanan), namun kita harap mereka dapat bermain di Manjung dan semua itu bergantung kepada pengurusan Perak FC untuk berunding dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL)," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Hijrah Insaniah Yayasan Perak di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Sekolah Izuddin Shah, dekat sini hari ini.

Khairudin menambah, dua cadangan itu dipertimbangkan setelah MBI memaklumkan akan melaksanakan kerja naik taraf Stadium Perak hasil geran RM500,000 yang ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Januari lalu kepada semua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

"Saya dimaklumkan ketika ini kecerahan lampu limpah Stadium MPM ada sesetengah kawasan berada di bawah paras minimum syarat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) iaitu minima 1, 200 lux (kawasan kecerahan) dan perlu penambahbaikan.

"Besar harapan kita agar Stadium MPM digunakan sebagai alternatif bagi pasukan Perak untuk beri ruang kepada penyokong memberikan sokongan kepada pasukan kita," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Bobie Farid Shamsudin ketika dihubungi memberi bayangan bahawa Stadium MPM bakal dijadikan tempat pertandingan sementara buat Perak FC untuk pusingan kedua Liga M 2024/25.

"Kita nampak lokasi yang ada ketika ini adalah Manjung dan perkara ini masih dalam perbincangan dengan MFL termasuk pihak berkaitan bagi memastikan stadium itu dapat digunakan sebagai gelanggang tuan rumah Perak FC.

"Cuma kami harapkan Stadium MPM dapat memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh MFL sebelum memulakan pusingan kedua agar merealisasikan hasrat penyokong Perak untuk hadir memberikan sokongan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X