Jumaat, 31 Mei 2024 | 8:01pm
Pemain Harimau Malaya menjalani latihan tanpa disertai pemain JDT dan Selangor.
Pemain Harimau Malaya menjalani latihan tanpa disertai pemain JDT dan Selangor.

'JDT, Selangor tak bersalah'

KUALA LUMPUR: Ketiadaan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) dalam kem skuad Harimau Malaya yang sudah memulakan sesi latihan sejak Isnin lalu tampak menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Ada dalam kalangan penyokong yang hairan memandangkan pemain dari dua pasukan tempatan itu belum menyertai sesi latihan sedangkan pasukan lain sudah melepaskan pemain mereka untuk menyertai sesi latihan untuk persiapan mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Pemain JDT yang dipanggil kali ini adalah Ahmad Syihan Hazmi, Matt Davies, Feroz Baharudin, Shahrul Saad, Corbin Ong dan Endrick dos Santos serta Nooa Laine dari SFC.

Selain enam pemain skuad Harimau Selatan dan seorang pemain The Red Giants itu, seorang lagi pemain berpangkalan di Liga Thailand, Dion Cools juga masih belum melapor diri setakat semalam.

Situasi ini menyaksikan skuad kebangsaan tidak memiliki skuad lengkap untuk menjalani sesi latihan dalam misi menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun.

Menjelaskan 'kehilangan' lapan pemain skuad kebangsaan itu, peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid berkata, itu bukanlah satu kesalahan apabila JDT, Selangor ataupun mana-mana pasukan belum melepaskan pemain mereka untuk menyertai skuad kebangsaan.

Ini berikutan tidak ada peruntukan yang 'memaksa' mana-mana pasukan melepaskan pemain mereka menyertai kem latihan pusat lebih awal dan ia boleh dibuat berdasarkan peraturan pelepasan pemain seperti termaktub dalam undang-undang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Ada dua jenis jendela antarabangsa iaitu jenis A ditetapkan sebagai tempoh 10 hari bermula hari Isnin pagi dan berakhir pada malam Rabu minggu berikutnya dikhaskan untuk aktiviti pasukan.

"Jenis B pula ditakrifkan sebagai tempoh empat hari bermula hari Ahad dan berakhir pada malam Rabu minggu berikutan dikhaskan untuk aktiviti pasukan.

"Bagi jendela antarabangsa A, pemain mesti dilepaskan dan memulakan perjalanan untuk menyertai pasukan yang mereka wakili tidak lewat daripada pagi Isnin dan mesti pulang ke pasukan mereka bermula tidak lewat daripada pagi Khamis berikutan dengan akhir jendela antarabangsa.

"Jadi, tidak salah untuk JDT mahupun Selangor tidak lepaskan pemain mereka ketika ini kerana mereka mengikut peraturan FIFA.

"Kalau ikut peraturan, mereka hanya perlu lepaskan pemain mereka pada 3 Jun ataupun Isnin ini," katanya kepada BH Sukan.

Sebagai rekod, jendela antarabangsa ketika ini akan bermula pada 3 hingga 11 Jun dengan maksimum dua perlawanan dibenarkan sepanjang tempoh ini.

Berita Harian X