Jumaat, 31 Mei 2024 | 11:28am
Pemain Real Madrid meraikan kemenangan ke atas Bayern Munich pada separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini. – Foto REUTERS
Pemain Real Madrid meraikan kemenangan ke atas Bayern Munich pada separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini. – Foto REUTERS

Real Madrid sedia akhiri kisah dongeng Dortmund

LONDON: Borussia Dortmund berdepan ujian getir susulan pencapaian kisah dongeng layak ke final Liga Juara-Juara awal pagi Ahad ini ketika pasukan penuh bintang Real Madrid menanti di Wembley dengan jangkaan dinobat juara Eropah buat kali ke-15.

Tiada kelab mampu menghampiri kejayaan hebat kelab gergasi Sepanyol dalam pertandingan itu dan mereka menjadi pilihan utama menentang pasukan Dortmund yang menafikan ramalan ramai untuk layak ke London.

Kebiasaan Madrid menyerlah tepat pada masanya apabila diperlukan dalam Liga Juara-Juara menyemarakkan perjalanan mereka ke final.

Anak buat Carlo Ancelotti menangani asakan demi asakan juara bertahan Manchester City untuk menang aksi suku akhir mereka menerusi penentuan penalti sebelum mempamerkan satu lagi kebangkitan lewat mengagumkan di Santiago Bernabeu untuk menyingkirkan Bayern Munich pada separuh akhir.

Juara Sepanyol itu berkunjung ke ibu negara England dengan keyakinan tinggi ketika mereka kelihatan mahu melengkapkan musim penuh kemanisan.

Kejayaan Borussia Dortmund layak ke final Liga Juara-Juara musim ini dianggap satu perjalanan kisah dongeng. – Foto REUTERS
Kejayaan Borussia Dortmund layak ke final Liga Juara-Juara musim ini dianggap satu perjalanan kisah dongeng. – Foto REUTERS

Madrid hanya tewas dua kali dalam 54 perlawanan bagi semua pertandingan, menjuarai La Liga dengan perbezaan 10 mata dan membenam Barcelona 4-1 untuk menjuarai Piala Super Sepanyol.

"Saya hadir ke sini kerana saya mahu menang dan menjangkakannya," kata pemain tengah Madrid, Jude Bellingham, yang meninggalkan Dortmund untuk berpindah ke ibu negara Sepanyol 12 bulan lalu.

"Ia mungkin dilihat agak tamak, tetapi anda perlu yakin apabila beraksi di samping ramai pemain hebat."

Laluan karier Bellingham menunjukkan tugas besar menanti Dortmund.

Dibawa dari kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Birmingham sebagai pemain remaja, bakatnya dibentuk dan dikembangkan oleh kelab gergasi Jerman itu sebelum disambar Madrid dengan yuran perpindahan sekitar 100 juta euro (RM508 juta).

Penyerang berpengalaman, Joselu muncul wira Madrid ketika menang pada separuh akhir Liga Juara-Juara ke atas Bayern Munich. – Foto REUTERS
Penyerang berpengalaman, Joselu muncul wira Madrid ketika menang pada separuh akhir Liga Juara-Juara ke atas Bayern Munich. – Foto REUTERS

Tanpanya Dortmund bergelut dalam kancah domestik musim ini, berakhir di tangga kelima dalam Bundesliga, 27 mata di belakang Bayer Leverkusen.

Namun, anak buah Edin Terzic bertindak lebih baik dalam Liga Juara-Juara untuk layak ke final kali ketiga dalam sejarah kelab itu dan pertama sejak mereka kalah di Wembley kepada Bayern Munich 11 tahun lalu.

Dortmund mengungguli kumpulan maut yang turut menampilkan Paris Saint-Germain (PSG), AC Milan dan Newcastle United.

PSV Eindhoven dan Atletico Madrid menjadi mangsa mereka seterusnya pada pusingan kalah mati sebelum kekebalan benteng pertahanan menyaksikan PSG tersingkir pada separuh akhir.

Ketika mereka berjaya mengekang Kylian Mbappe yang diramal akan ke Real pada separuh akhir, Dortmund sedar mereka perlu beraksi di satu tahap lagi jika mahu melihat Madrid ditundukkan buat kali pertama pada final Eropah sejak 1983.

Kota London sudah bersiap sedia menjadi hos final Liga Juara-Juara musim ini antara Borussia Dortmund dan Real Madrid di Stadium Wembley awal pagi Ahad ini. – Foto AFP
Kota London sudah bersiap sedia menjadi hos final Liga Juara-Juara musim ini antara Borussia Dortmund dan Real Madrid di Stadium Wembley awal pagi Ahad ini. – Foto AFP

"Sasaran kami bukanlah layak ke final, sasaran kami adalah menjuarai Liga Juara-Juara," kata peminat Dortmund yang beralih menjadi jurulatih Terzic.

"Jika anda mahu menang Liga Juara-Juara, anda perlu kalahkan juara. Kini juara mutlak dalam sejarah bola sepak dan terutamanya pertandingan ini menanti kami. Bos paling mutlak."

Tradisi kejayaan Madrid dalam Liga Juara-Juara bermakna beberapa pencapaian individu menjadi pertaruhan awal pagi Ahad ini.

Ancelotti boleh melebarkan rekodnya sebagai satu-satunya jurulatih memenangi Piala Eropah sebanyak empat kali.

Dani Carvajal, Luka Modric dan Toni Kroos, yang beraksi perlawanan terakhir bersama kelab itu, boleh menyamai pencapaian legenda Madrid, Paco Gento sebagai pemain yang memenangi pertandingan itu enam kali. – AFP

Berita Harian X