Isnin, 27 Mei 2024 | 10:39pm
Insiden baling batu dan suar selepas perlawanan KL City dan JDT Sabtu lalu. Foto SNE Sport
Insiden baling batu dan suar selepas perlawanan KL City dan JDT Sabtu lalu. Foto SNE Sport

'Biarlah kita hanya 'berperang' di atas padang'

KUALA LUMPUR: Sampai bila Liga Malaysia (Liga M) atau arena bola sepak negara akan terus disajikan dengan insiden 'ganas' atau samseng?

Persoalan itu timbul susulan tindakan sekumpulan individu didakwa menyerang penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan balingan objek di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur selepas aksi menentang Kuala Lumpur City, kelmarin.

Insiden itu bukanlah kali pertama berlaku di Liga M kerana perkara sama pernah berlaku dalam musim sebelum ini termasuk membabitkan banyak pasukan.

Jadi, cukup-cukuplah, keganasan dalam bola sepak harus dihentikan yang mana semua pihak termasuk kelab, pemain dan penyokong berhak menikmati bola sepak yang lebih meriah dan menyatupadukan semua pihak.

Pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli. - Foto fail NSTP
Pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli. - Foto fail NSTP

Malah, situasi panas antara penyokong juga sebenarnya berisiko menyumbang kepada perkara lebih buruk termasuk membabitkan serangan terhadap kelab dan pemain.

Pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan bahawa keganasan dalam sukan harus dihentikan sebelum ia menjadi lebih parah hingga ada yang kehilangan nyawa.

"Kita kena ambil perhatian serius, jangan sampai ada yang kehilangan nyawa. Malah arena bola sepak kita sekarang ini pun banyak perkara yang sedang panas.

"Kalau dalam stadium mungkin pihak keselamatan masih boleh kawal, tapi ini berlaku di luar stadium. Jadi kita nak menyeru supaya penyokong tidak terpengaruh dengan apa-apa sentimen.

"Kita harap benda ini dihentikan dan tidak terus berpanjangan. Biarlah kita hanya berperang di atas padang sahaja, jangan sampai bawa hingga ke luar padang," katanya kepada BH Sukan.

Selain itu, Pekan menganggap pihak yang harus memainkan peranan untuk mendidik penyokong adalah pengurusan kelab dan kelab penyokong pasukan masing-masing.

"Apa yang saya tengok ada pihak lain yang memanaskan keadaan terutama dengan adanya media sosial. Tidak perlu 'troll' sana sini dan pihak yang perlu mengambil berat atau berpengaruh untuk meredakan keadaan ini adalah pengurusan kelab.

"Ini adalah sukan, bukan peperangan. Kita kena balik kepada asas sukan itu sendiri yang mana sukan adalah membentuk perpaduan," katanya.

Berita Harian X