Isnin, 27 Mei 2024 | 9:35pm
Faisal antara pemain ‘kegemaran’ Kim Pan Gon dalam skuad Harimau Malaya.
Faisal antara pemain ‘kegemaran’ Kim Pan Gon dalam skuad Harimau Malaya.

Pan Gon tak sanggup lihat Faisal tanggung kesakitan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya terhadap nasib malang yang menimpa pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim.

Faisal yang juga antara pemain 'kegemaran' Pan Gon menjadi mangsa simbah asid, 5 Mei lalu yang menyaksikan dia mengalami luka lecuran tahap empat di beberapa bahagian badan.

Susulan itu, pemain yang lebih mesra disapa Mickey itu terlepas dua baki aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan.

Ketika diminta mengulas insiden yang menimpa Faisal, Pan Gon seakan sukar untuk menggambarkan perasaannya dan memahami dugaan besar yang terpaksa diharungi pemain berusia 26 tahun itu.

"Kejadian itu adalah satu perkara yang sukar untuk dilupakan. Melihat dia (Faisal) dalam kesakitan seperti itu, tidak sanggup untuk saya melihatnya. Tidak terungkap dengan kata-kata apa yang ditanggung Faisal.

"Bola sepak sepatutnya menjadi sukan yang selamat. Ia harus diwarnai dengan kegembiraan dan persahabatan, bukan keganasan. Kita perlu melindungi pemain daripada bahaya," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada hari pertama kem latihan pusat Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Mickey sudah pulang ke rumah, Ahad lalu selepas tiga minggu menjalani rawatan di hospital termasuk empat pembedahan dengan dia dijangka akan berehat antara tiga hingga enam bulan sebelum kembali beraksi.

Selain itu, Pan Gon berkata, Harimau Malaya tetap akan cuba memberikan aksi yang terbaik dalam usaha mendapatkan keputusan positif bagi dua aksi itu meskipun tanpa beberapa tonggak penting seperti Faisal dan Arif Aiman Hanapi.

Berita Harian X