Isnin, 27 Mei 2024 | 6:41pm
Syafiq terpaksa digugurkan selepas disahkan mengalami kecederaan ketika aksi menentang Perak, Jumaat lalu.
Syafiq terpaksa digugurkan selepas disahkan mengalami kecederaan ketika aksi menentang Perak, Jumaat lalu.

Harimau Malaya makin tempang, Syafiq pula terpaksa digugurkan

KUALA LUMPUR: Selepas kehilangan beberapa tonggak penting, ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon sekali lagi menerima tamparan hebat bagi menghadapi dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.

Ia selepas pemain Kedah Darul Aman (KDA), Syafiq Ahmad menjadi pemain terbaharu yang terpaksa digugurkan pengendali dari Korea Selatan itu.

Syafiq yang sebelum ini dicanang akan mengisi tempat penyerang naturalisasi, Romel Morales disahkan mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super menentang Perak, Jumaat lalu.

Susulan itu, Pan Gon membuat keputusan memanggil pemain Kuala Lumpur (KL) City, Zhafri Yahya yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia.

"Zhafri akan menggantikan tempat penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad yang tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini selepas disahkan mengalami kecederaan.

"Semoga Syafiq cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang," kata Pan Gon dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pan Gon kehilangan Arif Aiman Hanapi dan Morales kerana masalah kecederaan selain Faisal Halim yang masih menjalani rawatan pemulihan selepas menjadi mangsa simbah asid, 5 Mei lalu.

Harimau Malaya dijadual menentang Kyrgyzstan, 6 Jun ini di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum melayan kunjungan Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil, lima hari kemudian.

Berita Harian X