Isnin, 27 Mei 2024 | 1:21pm
Pemain Manchester United meraikan kejayaan menjuarai Piala FA Sabtu lalu. - AFP
Pemain Manchester United meraikan kejayaan menjuarai Piala FA Sabtu lalu. - AFP

Surat Ten Hag, pemain buat penyokong

LONDON: Bintang Manchester United yang memenangi Piala FA berikrar untuk 'mencipta perkara yang hebat' pada masa akan datang ketika pengurus, Erik ten Hag makin berdebar menunggu sama ada beliau akan dipecat atau tidak.

Ten Hag menuju ke final Piala FA menentang Manchester City, Sabtu lalu dikejutkan dengan laporan bahawa beliau akan dipecat tanpa mengira keputusan di Wembley.

Pemilik bersama United, Jim Ratcliffe dan orang kanannya dilaporkan menghubungi beberapa calon berpotensi untuk menggantikan Ten Hag selepas Red Devils menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) yang terburuk dalam sejarah kelab itu sejak 1990.

Bagaimanapun, Ten Hag membuatkan Ratcliffe berada dalam dilema kerana taktikal yang dilakukannya mengilhamkan kemenangan 2-1 sekali gus menggagalkan usaha City untuk melakar sejarah memenangi dua kejuaraan EPL dan Piala FA secara berturut-turut.

United menjulang Piala FA buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun hasil jaringan tonggak remaja Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo, memberikan Ten Hag dua trofi dalam kendaliannya yang bergelora selama dua tahun.

Sama ada kejayaan itu cukup untuk menjamin kedudukannya, ia masih belum diketahui, dengan United bersedia untuk menilai segenap sudut sebelum memutuskan nasib Ten Hag.

Bagaimanapun, pemain United menunjukkan sokongan mereka kepada Ten Hag dengan kemenangan cemerlang mereka ke atas City, sebelum memeluk bekas bos Ajax itu dengan mesra semasa sambutan selepas perlawanan.

Semalam skuad skuad utama 28 pemain itu mengeluarkan surat - juga ditandatangani oleh Ten Hag - di laman web kelab, mengakui musim ini 'tidak cukup baik' kerana mereka berhasrat membina momentum hasil kejayaan di Wembley yang tidak dijangka.

"Kita semua tahu bahawa kelab ini istimewa. Perlawanan semalam (kelmarin) adalah satu lagi peringatan mengenai itu," menurut surat berkenaan.

"Ketika kami berjuang untuk memenangi Piala FA, suasana luar biasa yang anda jana di dalam Wembley membantu meningkatkan permainan kami.

"Meraikan semua bersama adalah indah. Peminat, kakitangan, pemain - semuanya bersatu sebagai satu pasukan. Kenangan itu akan kekal bersama kita selamanya.

"Ia adalah peringatan selanjutnya bahawa dengan sokongan anda di belakang kami, dan lencana United di dada kami, kami boleh mencapai perkara yang hebat." - AFP

Berita Harian X