Ahad, 26 Mei 2024 | 10:28pm
Aksi pemain Selangor FC, Yohandry Orozco (kanan) ketika berdepan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. - Foto Selangor FC
Aksi pemain Selangor FC, Yohandry Orozco (kanan) ketika berdepan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. - Foto Selangor FC

Selangor naik empat anak tangga

KUALA LUMPUR: Selangor mendaki empat anak tangga untuk berada di kedudukan keempat Liga Super selepas meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Selangor yang berusaha keras untuk mendapatkan jaringan awal bagaimanapun gagal memecahkan kebuntuan pada babak pertama walaupun memperoleh beberapa peluang.

Jaringan yang dicari Gergasi Merah akhirnya menjelma pada minit ke-57 menerusi rembatan Ronnie Fernandez selepas menerima hantaran daripada Noor Al-Rawabdeh.

Gol itu jelas memberikan semangat buat tuan rumah dengan mereka menggandakan jaringan, 11 minit kemudian selepas rembatan deras Yohandry Orozco berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Aqil Abdul Razak buat kali kedua.

Orozco terus meletakkan skuad kendalian Nidzam Jamil dalam keadaan selesa apabila meledak gol ketiga pada minit ke-75, sebelum pemain gantian, Reziq Bani Hani melengkapkan malam gemilang Gergasi Merah dengan menyumbang gol keempat pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor yang juga naib juara Liga Super musim lalu mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan.

Anak buah Nidzam sebelum ini menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 1-0 di gelanggang sama selepas mereka menarik diri dari aksi Piala Sumbangsih.

Berita Harian X