Sabtu, 25 Mei 2024 | 8:40am
Beberapa calon disenaraikan untuk menggantikan Erik ten Hag sebagai pengurus Manchester United termasuk Mauricio Pochettino (atas kiri) dan Thomas Tuchel (bawah kiri). Gambar kecil pemilik bersama United, Jim Ratcliffe. – Foto AGENSI
Beberapa calon disenaraikan untuk menggantikan Erik ten Hag sebagai pengurus Manchester United termasuk Mauricio Pochettino (atas kiri) dan Thomas Tuchel (bawah kiri). Gambar kecil pemilik bersama United, Jim Ratcliffe. – Foto AGENSI

Ten Hag dipecat walaupun jika juarai Piala FA - laporan

LONDON: Manchester United akan memecat pengurus Erik ten Hag selepas perlawanan akhir Piala FA Inggeris menentang Manchester City tidak kira apa pun keputusan di Wembley malam ini, menurut laporan semalam.

Akhbar Britain, The Guardian melaporkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membuat keputusan sedemikian selepas satu musim yang mengecewakan.

Jika tempoh dua tahun Ten Hag berakhir selepas pertembungan dengan City, pemergiannya menggamit memori pemecatan rakan senegaranya dari Belanda, Louis van Gaal di Old Trafford.

Van Gaal dipecat hanya dua hari selepas kemenangan United pada final Piala FA ke atas Crystal Palace pada 2016.

United berakhir di kedudukan memalukan tangga kelapan EPL musim ini – penamat terburuk mereka sejak 1990 – selain tersingkir pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Ten Hag menjadi subjek spekulasi tegang mengenai masa depannya, beberapa bulan selepas bilionair Britain, Jim Ratcliffe menjadi pemegang saham minoriti kelab itu dan mengendalikan operasi harian bola sepak.

United menegaskan tiada sebarang keputusan dibuat mengenai masa depan pengendali dari Belanda itu dan berkata satu reviu penuh akan dijalankan selepas pertembungan final dengan juara EPL, yang memburu kejuaraan berganda liga dan Piala FA berturut-turut.

Kelab itu dikaitkan dengan beberapa nama termasuk Thomas Tuchel, Mauricio Pochettino, pengurus England, Gareth Southgate dan bos Ipswich, Kieran McKenna, yang pernah menjadi jurulatih di Old Trafford.

Perlawanan malam ini menawarkan peluang buat United untuk merangkul trofi kejuaraan berdepan musuh tetangga mereka dan tiket untuk beraksi dalam Liga Europa musim depan. – AFP

Berita Harian X