Jumaat, 24 Mei 2024 | 11:27pm
Pemain Perak FC, Lee Tae-min meledak dua gol ketika menewaskan KDA FC 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar. - Foto MFL
Pemain Perak FC, Lee Tae-min meledak dua gol ketika menewaskan KDA FC 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar. - Foto MFL

Tae-min ledak dua gol benam Kedah

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa menelan kekecewaan di laman sendiri selepas tewas 2-0 di tangan Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Ia adalah aksi pertama Kedah di laman sendiri musim ini, diiringi sokongan padu hampir 9,400 penyokong sendiri.

Tuan rumah terlebih dahulu diuji dengan sepakan percuma hasil percubaan pemain import Perak, Kanybekov Adilet pada minit ketiga tetapi berjaya diselamatkan penjaga gawang Sang Kenari, Kalamullah Al-Hafiz.

Kedah cuba bangkit dengan serangan balas pantas ke kubu Perak dua minit selepas itu, namun tandukan pemain sayap Sukhrob Nurulloev berjaya ditangkap Ramadhan Ab Hamid.

Kedah yang menguasai permainan cuba mengasak kubu Perak melalui percubaan Syafiq Ahmad pada minit ke-12, namun percubaannya itu gagal menemui sasaran.

Perak akhirnya mengejutkan tuan rumah dengan gol pada minit ke-16 apabila pemain Korea Selatan, Lee Tae-min berjaya menewaskan Kalamullah Al-Hafiz. Jaringan itu disahkan melalui semakan semula oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).

Tersentak dengan gol pelawat, Kedah cuba bangkit dengan memburu gol penyamaan melalui beberapa siri serangan bahaya oleh Sony Norde, Syafiq dan Nurulloev, namun tidak berhasil.

Bermula babak kedua, Kedah menerima tamparan apabila penyerangnya, Syafiq cedera dan terpaksa diganti oleh pemain sayap, Fayadh Zulkifli, manakala Norde bertindak sebagai penyerang.

Kedah mendapat peluang kemasan menerusi tiga percubaan pada minit ke-57 hingga minit ke-59 apabila tiga tonggak Sang Kenari - Nurullaev, Halim Saari dan Milos Gordic hampir membolosi gawang Perak dan mencipta gol penyamaan, namun percubaan mereka gagal menepati sasaran.

Kedah melakukan tiga pertukaran serentak dengan memasukkan penyerang kedua Ebenezer Assifuah, Faiz Nasir dan Fadzrul Danel pada minit ke-70 bagi meningkatkan jentera serangan.

Tae-min sekali lagi menceriakan penyokong Perak melalui jaringan keduanya pada minit ke-76 bermula dengan gerakan serangan balas dari bahagian tengah.

Dua minit sebelum tamat permainan, Norde hampir meledak go menerusi percubaan di depan gawang, namun percubaannya pula terkena palang.

Berita Harian X