Jumaat, 24 Mei 2024 | 10:21pm
Pemain-pemain Terengganu FC meraikan jaringan pada perlawanan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Pemain-pemain Terengganu FC meraikan jaringan pada perlawanan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. - Foto NSTP/Ghazali Kori

TFC huni di tangga teratas liga

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menghuni di tangga teratas Liga Super selepas menumpaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak dalam aksi derbi sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah bermula garang dengan percubaan pertama menerusi Manuel Ott pada minit ke-12 yang sedikit melepasi palang gol.

Tiga minit berselang, giliran bekas penyerang KDN FC musim lalu, Ismaheel Akinade mencuba untuk membuka tirai jaringan, namun tandukannya hasil hantaran Ubaidullah Shamsul Fazili hanya sedikit melepasi tiang gol.

Begitu juga rembatannya dalam kotak pada minit ke-25 melepasi palang gol sekali gus terselamat pintu gol pelawat yang dikawal Khatul Anuar MD Jalil.

Bagaimanapun usaha berterusan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner akhirnya membuahkan hasil apabila pengadil, Muhammad Shukor Zulkiflee menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-36 yang disudahkan Akinade.

Penalti itu diberikan selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR) apabila Safawi Rasid dijatuhkan pertahanan skuad Kijang Emas, Muhammad Afzal Akbar.

Berbekal sokongan padu lebih 13,000 peminat setia, skuad Penyu berjaya menambah jaringan pada minit ke-45 menerusi pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov yang sebelum itu mendapat umpanan daripada Ott hasil hantaran silang Akinade untuk pasukannya mendahului 2-0.

Sepanjang babak pertama, tiada percubaan bahaya dimiliki skuad pelawat kendalian jurulatih kelahiran Korea Selatan, Park Jae Hong.

Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendapat jaringan ketiga selepas Ott melakukan sepakan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-47 berpunca daripada bola sepakan sudut.

Ketinggalan 3-0 tidak mematahkan semangat pemain pelawat yang mendapat peluang terbaik pada minit ke-50 untuk merapatkan jurang gol menerusi rembatan padu Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin, namun palang menjadi penghalang.

Kekalahan itu menyaksikan skuad KDN FC itu gagal mengutip sebarang mata dengan terperosok di tangga terbawah liga manakala TFC menghuni di puncak liga dengan mengutip tujuh mata hasil tiga perlawanan.

Berita Harian X