Jumaat, 24 Mei 2024 | 2:49pm
Manchester City mengalahkan Manchester United 2-1 pada final Piala FA musim lalu menerusi dua gol Ilkay Gundogan. – Foto REUTERS
Manchester City mengalahkan Manchester United 2-1 pada final Piala FA musim lalu menerusi dua gol Ilkay Gundogan. – Foto REUTERS

Bolehkah Ten Hag sekat ketagihan Guardiola?

LONDON: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag berharap dapat mengukuhkan peluangnya untuk mengelak daripada dipecat dengan menjejaskan impian Manchester City melakar sejarah pada final Piala FA Inggeris malam esok.

Buat musim kedua berturut-turut, Wembley akan menjadi tuan rumah pertembungan musuh tetangga Manchester pada perlawanan akhir.

Tahun lalu, City menundukkan United 2-1 pada final dalam laluan untuk melakar catatan mengagumkan treble yang termasuk kegemilangan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara.

City kekal kuasa dominan bola sepak kelab di England, seperti yang dipamerkan mereka apabila menjuarai EPL buat kali keempat berturut-turut hujung minggu lalu.

United meninggalkan Wembley masih optimis mengenai masa depan mereka di sebalik kekalahan 12 bulan lalu kerana Ten Hag berjaya menamatkan kemarau enam tahun merebut trofi dengan memenangi Piala Liga pada awal musim itu.

Piala FA Inggeris yang menjadi rebutan dua kelab Manchester bagi musim kedua berturut-turut di Wembley malam esok. – Foto thefa.com
Piala FA Inggeris yang menjadi rebutan dua kelab Manchester bagi musim kedua berturut-turut di Wembley malam esok. – Foto thefa.com

Namun Red Devils kembali ke utara London dihantui kempen terumbang-ambing yang menyaksikan pengendali dari Belanda itu berjuang untuk menyelamatkan pekerjaannya.

United berakhir di tangga kelapan EPL – penamat terburuk mereka sejak 1990 – dan gagal melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Ten Hag menyalahkan belenggu kecederaan yang menimpa United, tetapi ia tidak mungkin meyakinkan pemilik bersama baharu kelab itu Jim Ratcliffe untuk memberikan kepercayaan terhadapnya.

Jurulatih Belanda itu dilaporkan mencetus pergeseran dalam kalangan skuadnya selepas bergaduh dengan Jadon Sancho dan Marcus Rashford, menjurus kepada beberapa siri kekalahan memalukan antaranya di tangan Crystal Palace, Bournemouth, Fulham, Copenhagen dan Galatasaray.

United hanya layak ke final Piala FA selepas mensia-siakan kelebihan tiga gol dan melepasi tekanan sepakan penalti penentuan menentang kelab divisyen dua Coventry pada separuh akhir yang menyerlahkan kelemahan dalam pasukan Ten Hag.

Erik ten Hag optimis pasukannya Manchester United mampu menjinakkan Manchester City pada final malam esok. – Foto thefa.com
Erik ten Hag optimis pasukannya Manchester United mampu menjinakkan Manchester City pada final malam esok. – Foto thefa.com

Bos England, Gareth Southgate, bekas pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino dan jurulatih Ipswich, Kieran McKenna semuanya dikaitkan dengan jawatan pengurus di Old Trafford.

Harapan Ten Hag untuk kekal di United bagi musim ketiga pasti meningkat jika mereka boleh memusnahkan usaha City muncul kelab pertama Inggeris memenangi kedua-dua EPL dan Piala FA dua tahun berturut-turut.

"Saya datang ke sini untuk menang trofi," kata Ten Hag.

"Saya hanya fokus dengan tugas yang perlu saya laksanakan. Pertamanya menang perlawanan Sabtu ini dan kemudian meneruskan projek kami."

Tumpas dalam enam daripada tujuh pertembungan musuh tetangga Manchester, United mesti menjulang piala itu buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun untuk mengelak musim pertama tanpa aksi di Eropah sejak 2014-15.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola ketagih untuk membawa pulang lebih banyak trofi ke Etihad. – Foto thefa.com
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola ketagih untuk membawa pulang lebih banyak trofi ke Etihad. – Foto thefa.com

Dominasi City dalam EPL meningkat kepada enam kejuaraan dalam tempoh tujuh tahun, pencapaian yang menyebabkan sesetengah pengulas melabel mereka sebagai kelab paling hebat Inggeris sepanjang zaman.

Anak buah Pep Guardiola menyingkirkan Arsenal dengan dua mata selepas menang sembilan perlawanan terakhir liga, membolehkan mereka berada di ambang lebih banyak lagi sejarah di Wembley hujung minggu ini.

"Untuk melakukan apa yang kami lakukan tahun demi tahun, saya tidak fikir banyak pasukan mampu melakukannya, terutama dalam EPL," kata kapten City, Kyle Walker yang mengintai peluang potensi memenangi kejuaraan berganda berturut-turut.

Walker percaya semangat dan keinginan kuat Guardiola menjadi teras kepada kedahagaan City menjulang trofi yang kelihatan tidak akan berakhir.

"Saya fikir ia bermula daripada pengurus, pertama sekali. Beliau ketagih untuk menang. Beliau ketagih dan ia menular kepada kami," katanya. – AFP

REKOD PERTEMUAN PIALA FA

Perlawanan: 10

Man City menang: 4

Seri: 0

Man United menang: 6

Pertemuan 10 terakhir dalam Piala FA:

3 Jun, 2023: Man City 2-1 Man United (perlawanan akhir)

8 Januari, 2012: Man City 2-3 Man Utd (pusingan ketiga)

16 April, 2011: Man City 1-0 Man Utd (separuh akhir)

14 Februari, 2004: Man United 4-2 Man City (pusingan kelima)

18 Februari, 1996: Man United 2-1 Man City (pusingan kelima)

10 Januari, 1987: Man United 1-0 Man City (pusingan ketiga)

24 Januari, 1970: Man United 3-0 Man City (pusingan keempat)

29 Januari, 1955: Man City 2-0 Man United (pusingan keempat)

27 Mac, 1926: Man City 3-0 Man United (separuh akhir)

3 Oktober, 1891: Ardwick (Man City) 1-5 Man United (pusingan pertama kelayakan)

Berita Harian X