Selasa, 21 Mei 2024 | 7:27am
Pengendali Feyenoord, Arne Slot mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong selepas perlawanan terakhirnya di Stadium Feyenoord, Rotterdam. - Foto AFP
Pengendali Feyenoord, Arne Slot mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong selepas perlawanan terakhirnya di Stadium Feyenoord, Rotterdam. - Foto AFP

Sukar tolak tawaran Liverpool - Slot

LONDON: Arne Slot berkata peluang untuk bekerja di salah sebuah kelab terbesar di dunia adalah sukar untuk ditolak selepas Liverpool, semalam mengesahkan yang pengendali Feyenoord itu adalah bos baharu mereka.

Hanya 24 jam selepas ucapan selamat tinggal penuh emosi Jurgen Klopp di Anfield, kelab Liga Perdana Inggeris itu dalam satu kenyataan berkata, pengendali dari Belanda berkenaan akan mengambil alih pasukan bermula 1 Jun, bergantung kepada permit kerja.

Kelab tidak menyatakan tempoh kontrak Slot tetapi media British melaporkan yang dia menandatangani perjanjian untuk tiga tahun.

Ketibaan pengendali baharu itu bukan lagi rahsia apabila Liverpool dilaporkan bersetuju membayar pampasan bernilai 9.4 juta pound (RM55.96 juta) kepada Feyenoord.

Slot, 45, mengesahkan Anfield adalah destinasi seterusnya ketika sidang media pra-perlawanan terakhirnya di kelab Eredivisie itu pada Jumaat.

"Tentunya ia bukan keputusan yang mudah untuk meninggalkan kelab yang memberikan anda banyak pengalaman indah dan bekerja dengan ramai orang hebat.

"Tetapi sebagai ahli sukan, peluang untuk menjadi ketua jurulatih di Liga Perdana Inggeris, di salah sebuah kelab terbesar di dunia, sukar untuk ditolak," kata Slot.

Klopp, 56, pada Januari lalu mengumumkan yang musim 2023-24 adalah yang terakhir buatnya di Anfield, dan membimbing perlawanan terakhirnya Ahad lalu dengan kemenangan 2-0 ke atas Wolves.

Slot, dikaitkan dengan perpindahan ke Tottenham tahun lalu, menjadi bos Feyenoord pada tahun 2021 selepas menyerlah dalam tugasan pertamanya sebagai pengendali di AZ Alkmaar.

Dia membawa gergasi Belanda itu ke final Liga Konferens Eropah pada penghujung musim pertamanya, sebelum tewas 1-0 kepada Roma kendalian Jose Mourinho.

Slot kemudian memberikan gelaran liga kedua dalam tempoh 24 tahun buat De Kuip musim lalu sebelum menandatangani kontrak baharu untuk tempoh tiga tahun. - AFP

Berita Harian X