Isnin, 20 Mei 2024 | 8:11am
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali keenam dalam tempoh tujuh tahun di Etihad. - Foto REUTERS
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali keenam dalam tempoh tujuh tahun di Etihad. - Foto REUTERS

Guardiola beri isyarat tidak lama di Etihad

MANCHESTER: Pep Guardiola memberi isyarat yang dia mungkin akan meninggalkan Manchester City selepas berjaya membawa pasukannya memenangi Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut.

"Realitinya saya lebih hampir kepada meninggalkan kelab berbanding kekal di sini. Kami berbincang dengan kelab - buat masa sekarang saya mahu kekal di sini.

"Saya akan terus bersama pasukan musim depan dan ketika itu kami akan berunding lagi. Tetapi lapan atau sembilan tahun - kita lihat nanti," kata Guardiola yang membimbing kelab itu sejak tahun 2016.

Menurut Guardiola, dia keletihan selepas berusaha keras merebut gelaran keenam dalam tempoh tujuh tahun bersama City, tetapi akan memastikan satu lagi kejayaan apabila menentang Manchester United pada final Piala FA hujung minggu depan.

Bagaimanapun Guardiola berkata, pencapaiannya dianggap masih jauh berbanding apa yang pernah dilakukan Alex Ferguson bersama Man United.

Dia turut memuji pesaing-pesaingnya, pengendali Arsenal, Mikel Arteta dan bos Liverpool, Jurgen Klopp yang memberi tentangan sengit kepada pasukannya.

"Kami bersaing dengan hebat sekali lagi dan akhirnya, dengan jurang kecil, kami memenanginya. Kami melakukan sesuatu yang menakjubkan.

"Jika saya baru tiba di sini esok dan orang mengatakan yang dalam tempoh tujuh tahun saya akan memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris, saya akan katakan 'adakah anda gila?'

"Ini adalah Liga Perdana Inggeris, yang paling sukar. Ia paling sukar kerana banyak faktor, tempoh rehat yang pendek," katanya.

Guardiola turut mengucapkan selamat tinggal kepada Klopp, yang membimbing Liverpool buat kali terakhir semalam.

"Saya akan merinduinya. Dia sangat penting dalam hidup saya. Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih di atas usahanya. Dia membantu saya dengan pasukan ini. Dia pesaing yang utama dalam hidup saya. Dengannya, ia amat sukar," tambahnya.

Guardiola turut memberi amaran kepada Man City yang Arteta, bekas penolongnya di Etihad, akan menjadi pesaing utama kejuaraan untuk tempoh beberapa tahun akan datang. - REUTERS

Berita Harian X