Ahad, 19 Mei 2024 | 1:17pm
Penyokong membawa poster memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid ketika perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC dan Kedah di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Penyokong membawa poster memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid ketika perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC dan Kedah di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Kemenangan Selangor FC buat Faisal

KUALA LUMPUR: Tiga mata pertama diraih Selangor FC (SFC) bagi musim ini hasil kemenangan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC jelas begitu istimewa apabila ia turut didedikasikan kepada tonggak pasukan itu, Faisal Halim.

Pemain sayap berusia 26 tahun hanya mampu menyaksikan rakan sepasukannya beraksi apabila masih lagi menjalani rawatan di hospital susulan kecederaan lecur tahap empat akibat disimbah asid sulfurik, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kemenangan ini pasti sedikit sebanyak mengubati 'kesakitan' Faisal dan pengendali SFC, Nidzam Jamil mengakui insiden yang menimpa bintang mereka itu membuatkan pasukan menjadi bertambah kuat.

"Insiden itu memberi kesan kepada pemain pada mulanya tetapi semua orang dalam pasukan ini sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain untuk cuba keluar daripada zon kesedihan ini (insiden Faisal).

"Perkara ini (insiden Faisal) masih melekat dalam kepala semua orang tetapi kita mahu laluinya dengan baik menerusi bola sepak. Sudah tentu tiga mata ini untuk Mickey dan keluarganya.

"Insiden itu membuatkan kita sedar betapa pentingnya semua orang dalam pasukan ini dan ia membawa semangat kebersamaan. Sebagai satu keluarga besar, kita sentiasa berada di belakang Faisal seperti mana dia sentiasa berada di belakang kita setiap kali di atas padang," kata Nidzam.

Terdahulu, pemain gantian, Aliff Haiqal Lau muncul wira 'The Red Giants' apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-85 selepas rembatan leretnya menewaskan penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz.

Mengulas lanjut aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Nidzam mengakui perubahan taktikal pada babak kedua membantu pasukan itu beraksi dengan lebih sehingga berjaya mendapatkan gol kemenangan di hujung permainan.

"Reaksi pada babak kedua amat penting di mana kita minta pemain tengah kita berada di poket kerana pemain lebih ramai di belakang pada separuh masa pertama.

"Kita nak bermain lebih ke depan dan pemain berjaya melakukan seperti yang dirancang," katanya.

Berita Harian X