Ahad, 19 Mei 2024 | 12:03pm
Sistem VAR digunakan buat pertama kali dalam Liga M musim ini. - Foto ihsan MFL
Sistem VAR digunakan buat pertama kali dalam Liga M musim ini. - Foto ihsan MFL

VAR perlu masa untuk 'matang', berfungsi sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Mutu pengadilan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini kerap menjadi bahan kritikan dan pertikaian beberapa pihak terutama penyokong bola sepak tanah air.

Berdasarkan perkembangan teknologi moden terkini, ramai yang meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR).

FAM dan MFL akhirnya merealisasikan impian peminat dengan melaksanakan teknologi itu buat pertama kali dalam sejarah Liga M bagi saingan musim 2024-2025 yang membuka tirai minggu lalu.

VAR akan digunakan untuk menyemak dalam empat perkara penting yang boleh mempengaruhi keputusan perlawanan iaitu gol atau tidak gol, penalti atau tidak penalti, penentuan kad merah dan kesilapan identiti.

Gol atau tidak gol - pengendali VAR akan menyemak setiap gol yang dijaringkan dan jika dapat mengesan sesuatu, ia akan segera memaklumkan kepada pengadil untuk tidak terus memulakan perlawanan.

Semakan semula gol oleh VAR membabitkan ofsaid atau kesalahan ketika mengatur gerakan yang menghasilkan gol.

Penalti atau tidak penalti - VAR akan menyemak semula insiden sama ada pengadil boleh memberikan sepakan penalti atau tidak.

Penentuan kad merah - pengendali VAR boleh memaklumkan kepada pengadil sama ada pemain itu jelas melakukan kesalahan untuk mendapat kad merah atau membetulkan semula keputusan pengail yang melayangkan kad merah kepada pemain.

Kesilapan identiti - pengendali VAR boleh memaklumkan kepada pengadil jika pengadil memberi amaran atau menghukum pemain yang salah.

Bagaimana sistem VAR beroperasi dalam Liga M?

Pelaksanaan VAR dalam Liga M akan menggunakan konsep 'mobile VAR' di mana sistem teknologi yang diguna pakai mendapat pengiktirafan dan kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan dipasang dalam trak.

Setakat ini, MFL memiliki empat set VAR yang digunakan untuk saingan Liga M dengan minimum enam kamera menjadi 'mata' tambahan pengadil.

Walaupun jumlah kamera itu kurang jika dibandingkan dengan berbelas atau berpuluh kamera digunakan dalam saingan liga besar seperti Liga Perdana Inggeris, namun ia melepasi syarat minimum ditetapkan FIFA iaitu empat kamera.

Untuk permulaan, sebanyak empat trak akan dilengkapi sistem VAR dan akan bergerak ke venue perlawanan di Semenanjung Malaysia, manakala bagi venue di Sabah dan Sarawak sistem itu akan dipasang di bilik VAR di Stadium Likas, Kota Kinabalu dan Stadium Negeri, Kuching.

Sistem VAR ini hanya akan dikendalikan oleh kumpulan pengadil yang mendapat pengiktirafan FIFA iaitu video bantuan pengadil (VAR) dan penolong video bantuan pengadil (AVAR) sambil dibantu oleh operator ulang tayang (RO).

Setakat ini, FIFA memberi tauliah kepada 22 pengadil sebagai pengadil VAR, 20 penolong pengadil sebagai AVAR dan sembilan pengadil sebagai RO selepas FAM memulakan latihan pengadil VAR yang bermula pada Jun 2023 hingga April 2024 menerusi tiga fasa latihan.

Pengendali VAR yang berada dalam trak atau bilik VAR akan memaklumkan kepada pengadil perlawanan jika terdapat kesilapan atau kesalahan di atas padang terutama membabitkan empat perkara penting yang boleh mempengaruhi keputusan perlawanan.

Pengadil juga boleh meneliti semula ulang tayang pada skrin yang diletakkan di tepi padang yang mana digelar kawasan semakan pengadil (RRA) sebelum membuat keputusan muktamad.

Apa akan berlaku sekiranya VAR tidak dapat digunakan kerana masalah teknikal sebelum atau ketika perlawanan berlangsung?

Sekiranya VAR mengalami masalah sebelum perlawanan, pegawai keempat akan memaklumkan kepada pegawai kedua-dua pasukan dan perlawanan akan tetap dimainkan seperti yang sudah dijadualkan.

Jika VAR mengalami masalah semasa perlawanan, pegawai keempat akan memaklumkan kepada pegawai kedua-dua pasukan mengenai situasi VAR dan perlawanan akan diteruskan tanpa teknologi itu.

Prosedur itu sama seperti yang sudah dipraktikkan dalam perlawanan liga di luar negara.

Bagaimanapun, penggunaan VAR yang pertama kali digunakan dalam Liga M bukanlah semudah seperti menekan butang 'hidup' (on) dan memandang monitor komputer semata-mata.

Hakikatnya, sistem terbabit agak kompleks dan ia datang dengan pelbagai risiko yang mungkin menyebabkan teknologi untuk membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat itu tidak dapat digunakan dalam sesuatu perlawanan.

Bercakap kepada BH Sukan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan badan pengendali liga itu serta pengadil mengendalikan VAR sudah diberikan 'manual' dan garis panduan oleh FIFA jika keadaan tidak membolehkan ia beroperasi.

Justeru, mereka tidak akan 'gelabah' jika VAR tidak dapat digunakan atas faktor yang tidak dapat dielakkan seperti yang berlaku dalam dua aksi pembukaan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh dan Stadium Likas pada Sabtu dan Ahad minggu lalu.

"FIFA sudah memberikan kita cara untuk mengendalikan krisis jika VAR tidak boleh digunakan. FIFA memberikan input supaya semua pihak diberikan maklumat jika VAR tidak dapat digunakan contohnya kalau padang banjir dan garisan untuk membuat 'mapping' tidak boleh dilakukan VAR.

"Sistem tak boleh nampak garisan putih contohnya untuk menetapkan garisan ofsaid dan dengan padang banjir, sinaran lampu limpah juga memberikan pandangan yang berbeza ke atas sistem. Mungkin sistem kadang-kadang tak boleh hidup sebab terkena kilat serta banyak lagi kemungkinan yang boleh berlaku.

"Jadi FIFA sudah memberikan panduan dan kita akan gunakannya jika situasi seperti ini berlaku. Kita sudah bersedia jika masalah berlaku di tengah perlawanan dan pelbagai insiden yang berlaku memberi kemungkinan untuk VAR tidak dapat digunakan dalam sesuatu perlawanan," kata Stuart.

Dalam masa sama, Stuart juga menyifatkan penggunaan sistem VAR secara bergerak menggunakan trak yang dihantar ke setiap venue perlawanan sebagai langkah terbaik untuk digunakan di negara namun langkah itu menyebabkan mereka banyak 'kerja' untuk diselesaikan.

"Kita ada banyak jenis penyelenggaraan yang perlu dilakukan contohnya penyelenggaraan trak, 'server', perisian dan pelbagai perkara berkaitan VAR.

"Setiap kali trak pulang ke Kelana Jaya (pejabat MFL), server akan dibersihkan dan ini semua adalah prosedur operasi standard (SOP) dalaman yang kita fikirkan terbaik untuk kekalkan piawaian di tahap tertentu.

"Sudah pasti akan ada perkara yang berlaku di luar kawalan kita tetapi kita harap tiada isu akan timbul selepas kita lebih mahir mengendalikan VAR untuk jangka masa panjang," katanya.

Berita Harian X