Sabtu, 18 Mei 2024 | 10:28pm
Pemain Selangor FC, Noor Al-Deen Mahmoud (kiri) diasak pemain KDA FC, Mohd Akmal Md Zahir ketika perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Pemain Selangor FC, Noor Al-Deen Mahmoud (kiri) diasak pemain KDA FC, Mohd Akmal Md Zahir ketika perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Gol tunggal Alif Haiqal hadiahkan Selangor FC mata penuh

PETALING JAYA: Pemain bernombor 77, Alif Haiqal Lau mencipta kemenangan dramatik selepas jaringan tunggalnya membantu Selangor FC (SFC) menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 1-0 FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Pada malam yang menyaksikan penyokong berdiri dan menepuk tangan pada minit ketujuh sebagai tanda solidariti kepada pemain bernombor tujuh, Faisal Halim yang berdepan nasib malang, Aliff Haiqal turut meraikan jaringan itu dengan gaya 'siuuuuu' seperti kebiasaan Faisal.

Kemenangan dramatik yang begitu indah itu sekali gus membolehkan 'The Red Giants' meraih kemenangan pertama selepas kehilangan tiga mata pada aksi pembukaan apabila menarik diri daripada saingan Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), minggu lalu.

Pada aksi terbabit, SFC melancarkan gerakan menarik pada minit ke-11 menerusi hantaran satu dua antara Yohandry Orozco dan Ronnie Fernandez namun rembatan Fernandez tepat ke dakapan Kalamullah Al-Hafiz.

Alvin Fortes berjaya memintas bola dalam kawasan KDA FC pada minit ke-32, sayangnya hantaran lintangnya yang melintasi pintu gol pelawat gagal ditampan mana-mana pemain SFC.

SFC mendapat peluang terbaik memecah kebuntuan di hujung babak pertama, berpunca daripada sepakan percuma tetapi tampanan lemah Sharul Nazeem Zulpakar sempat diselamatkan Kalamullah.

Bersambung babak kedua, beberapa peluang yang dijana SFC tidak cukup untuk menggegar gawang KDA FC antaranya menerusi tandukan Sharul Nazeem (m58) disusuli percubaan Orozco (m65) yang ditangkap kemas Kalamullah.

Noor Al-Rawabdeh yang berada pada kedudukan yang baik mensia-siakan peluang pada minit ke-73 apabila rembatannya melambung tinggi selepas menerima hantaran pemain gantian, Reziq Banihani.

Berbaki enam minit masa sebenar, rembatan leret Aliff Haiqal berjaya menewaskan Kalamullah yang sebelum itu cemerlang menafikan segala percubaan SFC.

Selepas ini, SFC akan berkunjung ke Paroi untuk berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) sementara KDA FC akan kembali ke Darul Aman untuk melayan kunjungan Perak FC.

Berita Harian X