Sabtu, 18 Mei 2024 | 6:27pm
Penyokong Selangor FC mula mendesak pihak berkuasa selepas tiada perkembangan terbaharu walaupun kes sudah berlarutan hampir dua minggu. - Foto fail NSTP
Penyokong Selangor FC mula mendesak pihak berkuasa selepas tiada perkembangan terbaharu walaupun kes sudah berlarutan hampir dua minggu. - Foto fail NSTP

Selangor FC tegaskan tak campur siasatan polis

SHAH ALAM: Selangor FC (SFC) tidak 'berkuasa' untuk menghalang pihak tertentu termasuklah penyokong yang mendesak pihak berkuasa supaya berkongsi hasil siasatan berhubung insiden pemainnya, Faisal Halim yang disimbah asid, baru-baru ini.

Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menegaskan pihaknya tidak mencampuri urusan terbabit dan kini hanya fokus untuk memastikan pemain sayap itu dapat pulih sepenuhnya daripada kecederaan lecur tahap empat yang dialaminya.

Beliau berkata, desakan daripada penyokong bola sepak itu mungkin dibuat selepas tiada perkembangan terbaharu dapat disaksikan meskipun kes sudah berlarutan hampir dua minggu.

"Kami tidak boleh menghalang tindakan penyokong yang mendesak pihak berkuasa berkongsi perkembangan terkini siasatan termasuklah membuat petisyen sebagai tanda solidariti kepada Faisal.

"SFC menyerahkan siasatan berhubung kes berkenaan kepada pihak berkuasa kerana ia di luar bidang kuasa pasukan.

"Mungkin perkara ini timbul kerana kejadian terbabit berlaku dua minggu lalu namun setakat ini tiada perkembangan positif," katanya.

Terdahulu, penyokong bola sepak SFC berharap pihak berkuasa dapat merungkai dengan segera dalang yang terbabit dalam kes menyimbah asid kepada Faisal yang mesra disapa 'Mickey' itu.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid berkata, jutaan penyokong Harimau Malaya dan Gergasi Merah masih menunggu hasil siasatan pihak polis selepas 12 hari insiden itu berlaku.

Faizal berkata, rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak mahu pelaku dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal.

Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta peminat dan penyokong bola sepak memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terhadap insiden yang berlaku ke atas tiga pemain.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berharap mana-mana pihak tidak membuat kenyataan yang boleh menghangatkan lagi situasi ketika ini sehingga mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan peminat sukan tanah air.

Berita Harian X