Sabtu, 18 Mei 2024 | 12:18pm
Malam esok hari penentu kejuaraan Liga Perdana Inggeris mendebarkan buat pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kiri) dan pengurus Arsenal, Mikel Arteta. – Foto premierleague.com
Malam esok hari penentu kejuaraan Liga Perdana Inggeris mendebarkan buat pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kiri) dan pengurus Arsenal, Mikel Arteta. – Foto premierleague.com

City intai sejarah EPL, Arsenal taruh harapan

MANCHESTER, England: Manchester City berada di ambang sejarah merangkul kejuaraan keempat berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL), tetapi Arsenal tetap menaruh harapan kelab pendahulu itu melakukan kesilapan pada hari terakhir liga malam esok.

Pasukan kendalian Pep Guardiola yang mendominasi mengharungi hari terakhir musim dengan kelebihan dua mata di depan pasukan tangga kedua Arsenal susulan lapan kemenangan berturut-turut.

City, yang melayan kunjungan West Ham menyedari kemenangan akan memastikan kejuaraan sekali gus menjadi pilihan utama untuk melakar tahap baharu dominasi dalam kancah bola sepak Inggeris.

Arsenal, yang menerima kehadiran Everton ke gelanggang mereka bagi perlawanan terakhir, hampir tidak melakukan sebarang kesilapan pada 2024, dengan 15 kemenangan dan satu seri, di gelanggang lawan menentang City, dalam 17 perlawanan liga.

Bagaimanapun, kekalahan The Gunners 2-0 di tangan Aston Villa bulan lalu dilihat menjadi penentu dalam perebutan kejuaraan paling sengit membabitkan Liverpool hinggalah cabaran The Reds berakhir baru-baru ini.

Kekalahan mengejut 2-0 Arsenal di tangan Aston Villa bulan lalu memaksa mereka mendoakan City kalah atau seri malam esok. – Foto premierleague.com
Kekalahan mengejut 2-0 Arsenal di tangan Aston Villa bulan lalu memaksa mereka mendoakan City kalah atau seri malam esok. – Foto premierleague.com

Bukan buat kali pertama, City berada pada tahap terbaik mereka dalam beberapa minggu terakhir sebelum merebut kejuaraan.

Anak buah Guardiola hanya mencicirkan enam mata sejak pertengahan Disember lalu, ketika seri dengan Chelsea, Liverpool dan Arsenal.

Ketika City menghampiri kejuaraan keenam dalam tujuh musim di bawah kendalian Guardiola, tahap persaingan liga paling banyak ditonton di dunia itu menjadi persoalan.

Namun jurulatih dari Sepanyol itu menafikan pendapat EPL sudah menjadi bosan dan dominasi City adalah disebabkan sokongan kewangan padu daripada pemilik mereka yang berpangkalan di Abu Dhabi.

"Ia tidak bosan, ia sukar," kata Guardiola, selain menambah berdasarkan tahap perbelanjaan, Manchester United, Chelsea dan Arsenal sepatutnya mengatasi pencapaian City.

Anak buah Pep Guardiola hanya memikirkan kemenangan ke atas West Ham malam esok untuk melakar sejarah EPL. – Foto premierleague.com
Anak buah Pep Guardiola hanya memikirkan kemenangan ke atas West Ham malam esok untuk melakar sejarah EPL. – Foto premierleague.com

"Mereka berbelanja lebih banyak wang berbanding kami dalam lima tahun terakhir. Mereka patut berada di sana tetapi mereka tidak berada di sana."

David Moyes akan mengendalikan West Ham buat kali terakhir di Stadium Etihad.

Pengendali dari Scotland itu tidak menawarkan sebarang galakan kepada penyokong Arsenal apabila beliau mendakwa minggu ini adalah sukar untuk menyekat "skuad B-14 Manchester City memenangi kejuaraan" apatah lagi pasukan juara yang tampil dengan skuad utama.

Arsenal, yang berakhir di tangga kedua tahun lalu, mesti mengalahkan Everton dan berharap City gagal menang jika mereka mahu menamatkan penantian selama 20 tahun untuk merangkul kejuaraan.

Anak buah Mikel Arteta melakar rekod kelab dengan memenangi 27 perlawanan EPL musim ini, tetapi ia belum tentu cukup untuk merampas takhta City.

Bos Liverpool, Jurgen Klopp akan membawa bersamanya memori indah di Anfield selepas mengendali perlawanan terakhirnya menentang Wolves. – Foto REUTERS
Bos Liverpool, Jurgen Klopp akan membawa bersamanya memori indah di Anfield selepas mengendali perlawanan terakhirnya menentang Wolves. – Foto REUTERS

"Kami perlu memberikan kami peluang untuk menikmati satu hari indah pada Ahad, yang mana impian masih menyala dan satu kemungkinan," kata Arteta.

"Ia bola sepak dan sebaik kami menjejak kaki ke sana kami perlu menikmati detik itu."

Bos Liverpool, Jurgen Klopp akan mengucapkan selamat tinggal pada penamat sembilan tahun penuh memori, namun The Reds akan berakhir di tangga ketiga tidak kira apa pun keputusan menentang Wolves di Anfield.

"Saya bercakap mengenai bagaimana sukarnya untuk mengucapkan selamat tinggal," kata Klopp.

"Saya sukakan hampir segala-galanya mengenai tempat ini, sudah pasti. Saya akan membawa bersama banyak memori, kenangan fantastik, saya akan ingati hubungan ini selama-lamanya."

Erik ten Hag mengharungi musim kedua yang lebih buruk sebagai pengurus Manchester United. – Foto premierleague.com
Erik ten Hag mengharungi musim kedua yang lebih buruk sebagai pengurus Manchester United. – Foto premierleague.com

Manchester United berisiko terlepas aksi bola sepak Eropah selepas satu musim yang amat mengecewakan.

Anak buah Erik ten Hag menghuni tangga kelapan dan mesti mengatasi keputusan Newcastle di Brentford apabila mereka berkunjung ke Brighton untuk mengelak berakhir di luar tujuh tempat teratas buat kali pertama sejak 1990.

Tottenham melawat pasukan yang tersingkir ke liga bawahan Sheffield United menyedari satu mata sudah mencukupi untuk menduduki tangga kelima, manakala Chelsea akan meraih penamat enam teratas jika sekurang-kurangnya seri menentang Bournemouth di Stamford Bridge.

Enam pasukan teratas semuanya layak ke Eropah, dengan pasukan tangga ketujuh juga boleh layak selagi Manchester United tidak mengejutkan City pada final Piala FA minggu depan.

Luton Town pula akan turun divisyen jika mereka gagal menundukkan Fulham atau jika Nottingham Forest mengelak kekalahan di Burnley.

Sekalipun jika Luton menang dan Forest tewas, perbezaan jaringan yang buruk dimiliki The Hatters bermakna mereka memerlukan keajaiban matematik untuk kekal di liga utama. – AFP

Luton Town berdepan detik sukar untuk mempertahankan status sebagai kelab EPL. – Foto premierleague.com
Luton Town berdepan detik sukar untuk mempertahankan status sebagai kelab EPL. – Foto premierleague.com

JADUAL EPL MINGGU INI

Malam esok

(Semua perlawanan bermula jam 11 malam)

Arsenal mln Everton

Brentford mln Newcastle United

Brighton mln Manchester United

Burnley mln Nottingham Forest

Chelsea mln Bournemouth

Crystal Palace mln Aston Villa

Liverpool mln Wolverhampton Wanderers

Luton Town mln Fulham

Manchester City mln West Ham United

Sheffield United mln Tottenham Hotspur

Berita Harian X