Sabtu, 18 Mei 2024 | 11:30am
Wolverhampton Wanderers mencetus cadangan untuk memansuhkan penggunaan VAR dalam Liga Perdana Inggeris selepas mereka mendakwa kerap menjadi mangsa sistem semakan video itu. – Foto AFP
Wolverhampton Wanderers mencetus cadangan untuk memansuhkan penggunaan VAR dalam Liga Perdana Inggeris selepas mereka mendakwa kerap menjadi mangsa sistem semakan video itu. – Foto AFP

FVS sedia ganti VAR?

LONDON: Bola sepak dijangka meniru kriket dan tenis dengan mencuba satu sistem cabaran baharu yang mana pengurus mempunyai kuasa untuk meminta semakan video susulan keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan.

Dipanggil video sokongan bola sepak (FVS) dan dilihat sebagai alternatif kepada video bantuan pengadil (VAR), ujian percubaan awal sudah dijalankan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Zurich.

Ia menyaksikan pasukan dibenarkan mencabar dua kali dalam setiap perlawanan bagi situasi seperti gol, penalti, kad merah dan kes kesilapan identiti.

Pengurus memulakan cabaran dengan memutarkan jari mereka dan menyerahkan kad kepada pegawai keempat sebelum menerangkan perkara yang mereka ingin semak oleh pengadil di monitor di tepi padang.

Pemain juga boleh mencadangkan semakan tetapi keputusan terakhir terletak di tangan jurulatih mereka.

Berita mengenai FVS hadir kurang seminggu selepas didedahkan kelab Liga Perdana Inggeris akan mengundi bulan depan sama ada untuk memansuhkan VAR, tindakan yang dicetus oleh Wolverhampton Wanderers.

Ketua pengadil FIFA, Pierluigi Collina mendedahkan badan induk itu sedang mencuba sistem FVS yang boleh menggantikan VAR suatu hari nanti. – Foto REUTERS
Ketua pengadil FIFA, Pierluigi Collina mendedahkan badan induk itu sedang mencuba sistem FVS yang boleh menggantikan VAR suatu hari nanti. – Foto REUTERS

Ketua pengadil FIFA, Pierluigi Collina berkata ujian awal diadakan pada kejohanan Blue Stars/Piala Remaja FIFA di Zurich.

"Hasilnya amat, amat positif. Matlamat kami adalah untuk terus mencuba sistem baharu ini dalam pertandingan remaja kami.

"Kami berharap dapat memberi anda semua yang menunjukkan minat terhadap kemungkinan untuk melaksanakan sistem ini dalam pertandingan anda," kata Collina.

FVS pada mulanya dibangunkan bagi pertandingan yang tidak mempunyai sumber untuk menggunakan VAR, yang memerlukan penggunaan banyak kamera dan pegawai.

Pertimbangan utama adalah bagaimana pengurus, pemain dan peminat bertindak balas apabila mereka kalah semakan itu dan jika sistem itu disalahgunakan, seperti membuang masa secara taktikal.

Ujian percubaan tidak dicadang dilanjutkan ke liga dan pertandingan di tempat lain setakat ini kerana FIFA mahu mengekalkan ujian mereka secara dalaman dengan kejohanan remaja mereka buat masa ini. – AGENSI

Berita Harian X