Sabtu, 18 Mei 2024 | 9:02am
Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri keluar padang selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil Fabio Maresca ketika final Piala Itali bertemu Atalanta di Stadio Olimpico, Rome awal pagi semalam. – Foto REUTERS
Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri keluar padang selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil Fabio Maresca ketika final Piala Itali bertemu Atalanta di Stadio Olimpico, Rome awal pagi semalam. – Foto REUTERS

Juventus pecat Allegri kerana amukan Piala Itali

ROME: Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri dipecat awal pagi tadi kerana mengamuk ketika kejayaan menjuarai Piala Itali pada pertengahan minggu yang dianggap kelab Serie A itu "tidak sesuai" dengan nilainya.

"Juventus mengumumkan ia sudah melepaskan Massimiliano Allegri daripada peranan sebagai jurulatih utama skuad lelaki," umum kelab Turin itu dalam satu kenyataan.

"Pemecatan ini berikutan tingkah laku tertentu ketika dan selepas final Piala Itali yang dianggap kelab ini tidak selaras dengan nilai-nilai Juventus dan mereka yang mewakilinya."

Kelab itu mengucapkan kepada Allegri, 56, "selamat maju jaya dalam kerjaya masa depannya."

Allegri dibuang padang pada minit terakhir ketika menang 1-0 ke atas Atalanta awal pagi semalam kerana memaki hamun pegawai perlawanan dan kemudian mengabaikan pengarah sukan Cristiano Giuntoli ketika pemain meraikan kejayaan selepas perlawanan itu.

Allegri, yang menang 12 trofi bersama Juventus sepanjang dua tempoh sebagai pengurus, turut didakwa mengancam ketua pengarang akhbar Tuttosport sebelum sidang akhbar selepas perlawanan.

Beliau melahirkan kemarahannya di tepi padang, melempar tali leher dan jaket di depan John Elkann, keturunan keluarga Agnelli yang berkuasa dan CEO syarikat induk Exor yang menguasai Juventus dan ikon sukan permotoran Ferrari.

Juve sudah dilaporkan mahu menggantikan Allegri dengan jurulatih Bologna, Thiago Motta pada musim panas ini susulan musim hambar, namun mereka menangguh keputusan itu dengan berbaki dua perlawanan dalam kempen semasa.

Juventus menghuni tangga keempat Serie A, 25 mata di belakang juara Inter Milan, selepas hanya meraih 15 mata dalam 15 perlawanan terakhir liga dan akan bertemu Bologna awal pagi Isnin ini, dengan kedua-dua pasukan sudah layak ke Liga Juara-Juara musim depan. – AFP

Berita Harian X