Sabtu, 18 Mei 2024 | 7:39am
Pengurus Feyenoord, Arne Slot mengesahkan beliau akan menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengendali Liverpool musim depan. – Foto REUTERS
Pengurus Feyenoord, Arne Slot mengesahkan beliau akan menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengendali Liverpool musim depan. – Foto REUTERS

Slot sahkan ganti Klopp di Anfield

THE HAGUE: Jurulatih Feyenoord, Arne Slot mengesahkan awal pagi tadi beliau akan menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengurus Liverpool musim depan.

"Belum ada satu pengumuman rasmi lagi - tetapi saya tidak fikir ia akan menjadi berita buat anda saya akan menjadi jurulatih di sana musim depan," kata Slot kepada wartawan.

BBC menyatakan bulan lalu perjanjian buat Slot untuk menggantikan Klopp bernilai hingga £9.4 juta (RM55.9 juta).

"Perasaan saya akan meninggalkan tempat ini semakin menebal. Ada sesetengah orang yang anda bukan hanya sekadar mahu berjabat tangan," kata Slot menjelang perlawanan terakhirnya di kelab itu.

"Pada masa itu, ia bukannya mengenai sama ada anda sudah muncul juara atau menang piala, tetapi lebih mengenai penghargaan sesama insan," katanya.

Slot berpindah ke Feyenood pada 2021 selepas memukau dalam tugas pertamanya sebagai pengurus di AZ Alkmaar.

Beliau mengemudi kelab gergasi Belanda itu layak ke final pertandingan sulung Liga Konferens Europa pada hujung musim pertamanya, yang mana mereka tewas tipis 1-0 di tangan AS Roma kendalian Jose Mourinho.

Slot kemudian mengemudi kejuaraan kedua Eredivisie dalam tempoh 24 tahun buat Feyenoord musim lalu sebelum menandatangani kontrak baharu tiga tahun.

"Anda boleh lihat mereka benar-benar kecewa kerana anda akan pergi," katanya.

"Anda boleh katakannya menerusi kata-kata, tetapi bila anda lihatnya di air muka mereka, ia lebih menusuk kalbu."

Laman sesawang kelab Feyenoord berkata, satu parti perpisahan akan dianjurkan di stadium De Kuip selepas perlawanan terakhir Slot menentang Excelsior.

Feyenoord menikmati satu musim yang memberangsangkan, memenangi Piala Belanda dan muncul naib juara liga di belakang PSV Eindhoven dengan berbaki satu poerlawanan.

Pada awalnya, bos Leverkusen dan bekas pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso menjadi pilihan utama untuk menggantikan Klopp.

Namun Alonso komited untuk kekal di Leverkusen selepas mengemudi kejayaan sulung mereka menjuarai Bundesliga. – AFP

Berita Harian X