Jumaat, 17 Mei 2024 | 4:57pm
Kalamullah sedia mempertahankan kubu Kedah daripada dibolosi pada aksi menentang Selangor FC, malam esok. Foto Ihsan KDA FC
Kalamullah sedia mempertahankan kubu Kedah daripada dibolosi pada aksi menentang Selangor FC, malam esok. Foto Ihsan KDA FC

Kalamullah mahu kekal rekod tanpa bolos

ALOR SETAR : Penjaga gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kalamullah Al-Hafiz mahu memastikan gawang Kedah terus kebal pada aksi kedua Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Dia yang bertindak cemerlang menyelamatkan kubu Kedah ketika mencatat kemenangan pertama 1-0 menentang PDRM FC, Sabtu lalu berkata misi kali ini sudah pasti lebih mencabar.

"Sebaik mencapai sasaran kemenangan pada aksi berdepan PDRM FC lalu, saya kini memasang tekad untuk meneruskan momentum prestasi yang dicapai lalu untuk aksi berdepan Selangor FC kali ini yang kita tahu ianya satu misi yang cukup mencabar.

"Kekuatan serangan dan kemampuan jaringan yang dimiliki pemain skuad Selangor FC menjadi cabaran yang perlu saya dan barisan pertahanan hadapi pada kali ini, dan sudah pasti kami perlu lebih berwaspada dan terus fokus bagi mengelak kubu Kedah dibolosi.

"Namun dengan motivasi yang kami peroleh menerusi kemenangan sebelum ini dan persiapan sebelum berangkat ke Stadium MBPJ, saya berharap kami dapat meneruskan momentum ini untuk memastikan tiga mata pertama yang kami cari menjadi kenyataan," katanya.

Kalamullah, berkata persiapan rapi yang dilakukan bagi berdepan Selangor FC diharap dapat membantu dirinya meningkatkan lagi prestasinya di depan gawang.

"Dengan persiapan yang sudah diaturkan oleh jurulatih berpengalaman seperti Yazid Yassin dan Abdul Hadi sejak pramusim sebelum ini diharap dapat meningkatkan lagi tahap prestasi saya dan juga penjaga gol lain bersama Sang Kenari dan seterusnya ini membuka peluang lebih tinggi untuk saya sasarkan kembali ke peringkat kebangsaan pada musim ini," katanya.

Berita Harian X