Jumaat, 17 Mei 2024 | 11:59am
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp ketika mengendalikan musim sulungnya dalam Liga Perdana Inggeris hampir sembilan tahun lalu. – Foto AFP
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp ketika mengendalikan musim sulungnya dalam Liga Perdana Inggeris hampir sembilan tahun lalu. – Foto AFP

Berakhirnya era Klopp di Anfield

LIVERPOOL, England: Jurgen Klopp akan meninggalkan Anfield Ahad ini sebagai legenda, sesudah mengembalikan semula Liverpool ke dalam kelompok elit bola sepak Inggeris dan Eropah ketika membina hubungan yang kukuh dengan bandar itu dan penduduknya.

Sejak pengurus itu membuat pengumuman mengejut Januari lalu beliau akan melepaskan jawatannya pada hujung musim ini, rasa kehilangan yang menyelubungi Merseyside amat ketara.

Emosi itu adalah bukti transformasi yang tidak dilihat di Liverpool sejak hari-hari Bill Shankly beberapa dekad lalu.

Pada hari pertama kendalian Klopp di Anfield pada Oktober 2015 beliau menggelar dirinya sebagai "Normal One", berbeza dengan gelaran diri sendiri Jose Mourinho "Special One" ketika tiba sebagai bos Chelsea sedekad sebelumnya.

Namun pengendali dari Jerman itu membuktikan beliau bukan sekadar biasa, muncul satu-satunya pengurus Liverpool yang melengkapkan koleksi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara, Piala FA, Piala Liga, Piala Dunia Kelab dan Perisai Komuniti sepanjang tempoh kendaliannya.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp (tengah) menjulang trofi Liga Juara-Juara ketika meraikannya dalam bas tidak berbumbung di sekitar Liverpool pada 2 Jun 2019 selepas menewaskan Tottenham pada final. – Foto AFP
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp (tengah) menjulang trofi Liga Juara-Juara ketika meraikannya dalam bas tidak berbumbung di sekitar Liverpool pada 2 Jun 2019 selepas menewaskan Tottenham pada final. – Foto AFP

Personaliti berusia 56 tahun itu sudah melakar namanya sebelum tiba di England, mengatasi kehebatan Bayern Munich untuk memenangi kejuaraan Bundesliga berturut-turut bersama Borussia Dortmund.

Namun keyakinan tidak tinggi beliau boleh mengubah nasib kelab gergasi global itu yang menghabiskan berdekad-dekad dalam kesedihan.

Klopp tiba dengan Liverpool berakhir di tangga ke-10 EPL dan tanpa sebarang kejuaraan liga dalam tempoh 25 tahun.

Namun kekuatan personaliti, karisma dan kejurulatihannya tidak lama kemudian mula memikat peminat yang amat beremosi.

"Ini adalah satu kelab yang teramat istimewa. Saya tidak membuatkan mereka percaya, saya hanya mengingatkan mereka ia membantu jika anda percaya," kata Klopp awal bulan ini.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menjulang trofi Piala FA Inggeris selepas menewaskan Chelsea pada final di Wembley pada 14 Mei 2022. – Foto AFP
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menjulang trofi Piala FA Inggeris selepas menewaskan Chelsea pada final di Wembley pada 14 Mei 2022. – Foto AFP

"Setiap orang sedia berjuang dan bekerja keras. Itulah yang kami lakukan selama lapan setengah tahun."

Sejarah Liverpool dipenuhi dengan tragedi dan kejayaan. Tragedi Hillsborough 1989, yang mengakibatkan kematian 97 peminat, meninggalkan parut yang kekal.

Sebelum meraikan kejayaan di bawah kendalian Klopp terdapat banyak kesedihan. Liverpool mengalami kekalahan dalam tiga perlawanan akhir pertamanya - Piala Liga, Liga Europa dan Liga Juara-Juara.

Pada 2018-19 dengan rekod kelab ketika itu 97 mata masih tidak mencukupi untuk mengatasi Manchester City kendalian Pep Guardiola bagi memenangi EPL.

Namun dalam beberapa minggu Liverpool menundukkan Tottenham di Madrid untuk memenangi Liga Juara-Juara – muncul juara Eropah buat kali keenam.

Pemain dan staf Liverpool menjulang pengurus Jurgen Klopp (tengah) selepas memenangi final Liga Juara-Juara ke atas Tottenham Hotspur di Madrid pada 1 Jun 2019. – Foto AFP
Pemain dan staf Liverpool menjulang pengurus Jurgen Klopp (tengah) selepas memenangi final Liga Juara-Juara ke atas Tottenham Hotspur di Madrid pada 1 Jun 2019. – Foto AFP

Dalam laluan ke final, Anfield menikmati keseronokan paling hebat pada malam saingan Eropah apabila Barcelona diketuai Lionel Messi tumbang 4-0.

Penantian tiga dekad untuk memenangi kejuaraan liga berakhir pada 2020 tetapi ada perasaan hampa apabila trofi dijulang di stadium Anfield yang kosong disebabkan kekangan pandemik COVID-19.

Tempoh COVID-19 jelas sukar buat Klopp. Beliau gagal menghadiri majlis pengebumian ibunya sendiri kerana kekangan perjalanan dan Liverpool merana sepanjang musim 2020-21, terutamanya bermain tanpa penonton.

Apabila keadaan kembali normal, begitu juga kejayaan pasukannya ketika Liverpool memenangi Piala Liga dan Piala FA pada 2022.

Mereka terlepas peluang untuk melengkapkan empat kejuaraan apabila City sekali lagi merangkul kejuaraan liga dengan satu mata dan Real Madrid memenangi final Liga Juara-Juara 1-0.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mempunyai karisma dan perwatakan disenangi terutama dalam kalangan peminat tegar YNWA. – Foto AFP
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mempunyai karisma dan perwatakan disenangi terutama dalam kalangan peminat tegar YNWA. – Foto AFP

Selepas kempen 2022-23 yang sukar, Klopp membuktikan kepintaran pengurusannya sekali lagi apabila menyegarkan skuad dengan pemain muda dan bertenaga, sekali gus mengintai empat kejuaraan semusim.

Namun beliau mengakui awal tahun ini ideanya sudah mula berkurangan.

"Ia satu situasi menang-menang sejak hari pertama. Saya menikmati setiap saat daripadanya," kata Klopp baru-baru ini.

"Tanggungjawab dan kecintaan yang terbentuk selama ini menjadi sebahagian besar daripada keputusan yang saya lakukan, jadi saya benar-benar gembira dan tenang dengan keputusan ini."

Malangnya, tiada penamat kisah dongeng, sekalipun Liverpool meraih trofi dengan menundukkan Chelsea pada final Piala Liga, Februari lalu.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bersama trofi EPL yang dimenanginya pada musim 2020-21. – Foto AFP
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bersama trofi EPL yang dimenanginya pada musim 2020-21. – Foto AFP

Musim The Reds semakin pudar dalam beberapa minggu terakhir kempen, tersingkir daripada Piala FA dan Liga Europa selain terkeluar daripada persaingan memburu kejuaraan EPL selepas keputusan buruk.

Namun ia tidak akan mengurangkan keperitan apabila Klopp meninggalkan Anfield buat kali terakhir selepas perlawanan Ahad ini menentang Wolves dengan tempatnya terjamin di hati penyokong setianya. – AFP

Berita Harian X