Jumaat, 17 Mei 2024 | 8:16am
Phil Foden dipilih sebagai pemain terbaik tahunan Persatuan Penulis Bolasepak. – Foto premierleague.com
Phil Foden dipilih sebagai pemain terbaik tahunan Persatuan Penulis Bolasepak. – Foto premierleague.com

Foden intai 'sejarah' bersama City

LONDON: Phil Foden berkata Manchester City akan terpahat selama-lamanya dalam sejarah bola sepak England jika mereka merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kali keempat berturut-turut Ahad ini.

Pasukan kendalian Pep Guardiola berada di landasan terbaik bagi kejuaraan Inggeris keenam dalam tempoh tujuh tahun menjelang perlawanan terakhir musim hujung minggu ini.

City unggul dua mata di depan pasukan tangga kedua Arsenal dan akan menjulang trofi EPL sekali lagi jika mereka mengalahkan West Ham di Stadium Etihad atau jika The Gunners gagal menundukkan Everton.

Ia akan menjadi kejayaan yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah liga utama Inggeris sebelum ini jika City mencatat kejuaraan keempat berturut-turut.

Malah pasukan Liverpool yang hebat pada tahun 1970-an dan 1980-an, dinasti Alex Ferguson bersama Manchester United atau pasukan terhebat Arsenal tidak dapat melakukan pencapaian luar biasa itu.

Penyerang England, Foden percaya ia tidak mungkin berlaku sekali lagi jika City berjaya menjulang trofi itu.

Pemain terbaik tahunan Persatuan Penulis Bolasepak (FWA), yang terlepas majlis awal pagi tadi di London untuk memberi tumpuan kepada persiapan City berkata: "Ia sejarah dan saya tidak fikir saya mampu menyaksikan ia dilakukan sekali lagi.

"Ia sesuatu yang diketahui pasukan, difahami pemain dan kami tidak sabar untuk cuba melakukannya."

Selepas memenangi EPL, Liga Juara-Juara dan Piala FA musim lalu, City memburu kejuaraan berganda musim ini.

Mereka berdepan Manchester United pada final Piala FA di Wembley pada 25 Mei ini sebelum Foden mengalih tumpuannya kepada Kejohanan Eropah di Jerman.

"Jika kami boleh menang dua final ini, maka saya akan ke Euro 2024 dengan penuh keyakinan," kata Foden.

"Kami akan memberikan segala-galanya untuk cuba dan meraih kejayaan dan cuba memenangi Liga Perdana empat kali yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia pasti terlalu bermakna." – AFP

Berita Harian X