Khamis, 16 Mei 2024 | 4:10pm
Pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid (tengah) ketika sesi latihan di Pusat Latihan TFC, kelmarin. FOTO Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid (tengah) ketika sesi latihan di Pusat Latihan TFC, kelmarin. FOTO Ghazali Kori

Akhyar perlu lulus 'ujian'

KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akan menilai terlebih dahulu tahap kecergasan dan kecederaan pemain sayapnya, Akhyar Rashid sebelum disenaraikan berdepan Penang FC, Ahad ini.

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, beliau tidak mahu tergesa-gesa menyenaraikan pemain kebangsaan itu bagi memastikan tiada risiko lain berlaku lebih-lebih lagi Liga Malaysia (Liga M) pada musim baharu ini panjang sehingga pertengahan tahun depan.

Bagaimanapun, Steinbruckner akui besar harapannya agar pemain itu bebas sepenuhnya daripada kecederaan serta cergas bagi membolehkan dia beraksi dalam perlawanan kedua Liga Super itu.

"Jika ikutkan, memang kita memerlukan khidmat Akhyar kerana dia pemain yang berkualiti dan pada masa sama dia mampu menjana corak serangan terutama kepantasan dan ketajamannya di depan gawang.

"Namun sebelum menurunkan pemain itu berdepan Penang FC nanti, saya akan menilai terlebih dahulu tahap kesembuhan kecederaan yang dialaminya serta kecergasannya.

"Jika dia benar-benar pulih dan cergas, tiada sebab untuk merehatkannya, pasti dia berada dalam senarai pemain. Namun saya tidak mahu mengambil risiko lebih-lebih lagi jadual liga panjang musim ini," ujar Steinbruckner ketika ditemui.

Semalam, Akhyar akui dia bagaikan tidak sabar untuk membuat penampilan pertama bersama pasukan baharunya itu selepas terlepas aksi pertama berdepan Perak FC yang memihak kepada TFC 3-1 pada Sabtu lalu.

Terdahulu, pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berdepan nasih malang selepas dia menjadi mangsa pukul dan samun mereka yang tidak bertanggungjawab berdekatan kondominium kediamannya dekat bandar Kuala Terengganu pada malam 2 Mei lalu.

Berikutan itu, Akhyar terrpaksa dikejarkan ke hospital sebelum menerima empat jahitan di kepala dan dua di kaki serta kerugian hampir RM5,000.

Susulan kejadian itu, pihak polis meningkatkan lagi kawalan keselamatan termasuk memantau ketika sesi latihan di Pusat Latihan TFC, Gong Badak bagi mengelak perkara tidak diingini berulang.

Berita Harian X