Khamis, 16 Mei 2024 | 2:50pm
Faisal tetap mengambil tahu mengenai perkembangan pasukan Selangor sekalipun masih dirawat susulan disimbah asid 5 Mei lalu.
Faisal tetap mengambil tahu mengenai perkembangan pasukan Selangor sekalipun masih dirawat susulan disimbah asid 5 Mei lalu.

Faisal tanya status Piala Sumbangsih

KUALA LUMPUR: Meskipun sedang menjalani rawatan di hospital, pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim tetap ingin mengambil tahu mengenai perkembangan Gergasi Merah.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata pemain berusia 26 tahun itu turut bertanyakan mengenai status perlawanan Piala Sumbangsih.

Beliau menjelaskan, Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey bertanya perkara itu kepada isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril yang setiap hari berada di sisi Faisal.

"Pada saya tak ada (Faisal tanya mengenai perlawanan Piala Sumbangsih), tapi pada isteri dia ada. Namun, buat masa ini kita tak nak pemikiran dia terganggu.

"Kalau ikut Faisal ini, beliau adalah seorang insan yang 'detail', sering bertanya apa terjadi. Tapi sekarang ini kita nak dia fokus pemulihan kesihatannya dulu. Pada masa sama kita juga ada maklumkan apa yang berlaku di luar supaya dia tak bosan," katanya.

Aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat lalu dibatalkan selepas Gergasi Merah menarik diri dari perlawanan itu.

Selangor membuat keputusan untuk 'tidak hadir' aksi Piala Sumbangsih atas faktor keselamatan selepas MFL menolak permohonan mereka untuk menunda perlawanan itu.

Susulan itu, MFL mengumumkan pembatalan aksi Piala Sumbangsih sekali gus menyaksikan JDT diberikan kemenangan 'walkover' dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super.

Berita Harian X