Khamis, 16 Mei 2024 | 2:41pm
Shahril berharap MFL perhalusi dahulu tindakan Selangor tarik diri daripada Piala Sumbangsih sebelum menjatuhkan hukuman.
Shahril berharap MFL perhalusi dahulu tindakan Selangor tarik diri daripada Piala Sumbangsih sebelum menjatuhkan hukuman.

MFL digesa usah bebankan lagi Selangor

KUALA LUMPUR: Selangor FC tetap berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memperhalusi sebaik mungkin sebelum memutuskan bentuk hukuman terhadap kelab itu.

Sehingga kini, MFL belum mengumumkan bentuk hukuman yang akan dikenakan ke atas Selangor susulan tindakan Gergasi Merah menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), Jumaat lalu.

BH Sukan difahamkan Lembaga Pengarah badan pengelola Liga M itu juga masih belum mengadakan perbincangan berkaitan tindakan Selangor menarik diri.

Namun, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berharap keputusan yang akan dibuat Lembaga Pengarah MFL nanti tidak membebankan Selangor atau mengeruhkan lagi keadaan dengan mengambil kira situasi yang dihadapi Gergasi Merah.

"Apa yang pihak Selangor FC sudah lakukan menulis surat kepada pihak MFL untuk tangguhkan aksi Piala Sumbangsih. Kita dapat jawapan (permohonan itu) tidak diterima dan keputusan sudah dibuat.

"Saya sudah cakap banyak kali, sekiranya apa-apa keputusan pihak MFL nak buat, saya serahkan kepada pihak MFL. Jangan membebankan dan jangan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Selangor FC sebelum ini membuat keputusan untuk 'tidak hadir' aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim atas faktor keselamatan selepas MFL menolak permohonan mereka untuk menunda perlawanan itu.

Susulan itu, MFL mengumumkan pembatalan aksi Piala Sumbangsih sekali gus menyaksikan JDT diberikan kemenangan 'walkover' dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super.

Selain itu, Shahril memaklumkan pihaknya tidak akan membuat protes atas kemenangan JDT selaku pemenang Piala Sumbangsih itu kerana keputusan yang dibuat MFL mengikut peraturan pertandingan.

"Itu undang-undang, kita takkan protes sebab memang dalam peraturan MFL sekiranya sesuatu pasukan tidak hadir, kemenangan 3-0 akan diberikan.

"Sebab itu pihak Selangor FC tak pernah persoalkan. Itu hak MFL dan saya rasa hak JDT. Harapan saya sekiranya ada apa-apa tindakan ataupun denda dan sebagainya, perhalusi dulu," katanya.

Berita Harian X