Khamis, 16 Mei 2024 | 10:16am
Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino memeluk pemain pertahanan dari Brazil, Thiago Silva yang akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini. – Foto REUTERS
Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino memeluk pemain pertahanan dari Brazil, Thiago Silva yang akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini. – Foto REUTERS

Chelsea raih manfaat berkat kesabaran - Pochettino

BRIGHTON, England: Mauricio Pochettino berkata kebangkitan lewat Chelsea memburu tempat ke pertandingan Eropah adalah berkat kesabaran kelab itu mengharungi satu musim sukar.

Anak buah Pochettino menang 2-1 di Brighton awal pagi tadi untuk melonjak ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris dengan hanya berbaki satu perlawanan.

Dengan Newcastle tumpas 3-2 di Manchester United pada satu lagi aksi awal pagi tadi, Chelsea melonjak mengatasi The Magpies.

The Blues akan terjamin tempat ke Liga Europa musim depan jika mereka mengelak kekalahan menentang Bournemouth di Stamford Bridge Ahad ini atau jika pasukan tangga ketujuh Newcastle tidak menang di Brentford.

Malah Chelsea mungkin boleh berakhir di tangga kelima jika mereka mengalahkan Bournemouth dan Tottenham tewas di Sheffield United.

Cole Palmer pemain paling menyerlah buat Chelsea musim ini. – Foto REUTERS
Cole Palmer pemain paling menyerlah buat Chelsea musim ini. – Foto REUTERS

Ia satu kebangkitan menakjubkan dikemudi Pochettino, yang berdepan kritikan sepanjang musim pertama kendaliannya.

Berikutan gesaan untuk memecatnya, Pochettino membayangkan baru-baru ini beliau boleh meletak jawatan pada hujung musim ini dan berkata ia bukan pengakhiran dunia jika beliau dipecat oleh pengerusi Todd Boehly.

Namun pengendali dari Argentina itu lebih seronok selepas Chelsea menghampiri kelayakan ke Eropah, menyanjung ahli lembaga pengarah kelab itu yang mengekalkan perancangan mereka.

"Kami meningkat dari segi keputusan dan persembahan. Kami bercakap mengenai kesabaran dan apabila anda mahu membina sesuatu anda perlukan masa tetapi ia sering kali menjadi alasan di kelab besar," katanya.

"Evolusi pasukan ini sudah ada. Kami perlu meneruskan kerja dengan positif dan untuk menamatkannya dengan cara yang baik pasti bagus buat kelab ini."

Di sebalik berbelanja lebih £1 bilion (RM5.94 bilion) membeli pemain baharu dalam tempoh dua tahun terakhir, konsortium Boehly meninggalkan Pochettino dengan satu skuad muda, yang mana kekurangan pengalaman sering kali menjadi punca kekalahan mereka. – AFP

Berita Harian X