Khamis, 16 Mei 2024 | 8:23am
Pemain pertahanan Juventus, Danilo menjulang trofi ketika pemain kelab itu meraikan kejayaan menjuarai Piala Itali selepas menundukkan Atalanta 1-0 pada final di Stadio Olimpico, Rome awal pagi tadi. – Foto AFP
Pemain pertahanan Juventus, Danilo menjulang trofi ketika pemain kelab itu meraikan kejayaan menjuarai Piala Itali selepas menundukkan Atalanta 1-0 pada final di Stadio Olimpico, Rome awal pagi tadi. – Foto AFP

Vlahovic pacu Juve juara Piala Itali kali ke-15

ROME: Dusan Vlahovic memacu kejayaan Juventus memenangi Piala Itali dengan gol tunggal pada final awal pagi tadi menentang Atalanta yang dinafikan trofi pertama mereka dalam tempoh enam dekad.

Jaringan penyerang dari Serbia itu pada minit keempat cukup buat Juve merangkul trofi kali ke-15 pada final yang kurang memberangsangkan di Rome.

Pasukan kendalian Massimiliano Allegri hanya menang tiga perlawanan sejak hujung Januari lalu menjelang final tetapi mengecewakan Atalanta sebaik Vlahovic, yang turut dibatalkan satu gol kerana ofsaid pada babak kedua, menjaringkan gol tunggal perlawanan itu.

Kemenangan awal pagi tadi menamatkan kemarau tiga tahun Juventus menjulang trofi, kelab paling berjaya Itali dan mempunyai penyokong paling ramai tetapi dibayangi dengan kehebatan dua kelab Milan dan Napoli dalam beberapa musim terakhir.

Persembahan buruk musim ini menjurus kepada spekulasi Allegri, yang dibuang padang pada hujung perlawanan, akan dipecat pada musim panas ini dan beliau membayangkan tempoh keduanya sebagai jurulatih Juve akan berakhir tidak lama lagi.

"Jika saya pergi musim depan, kerana saya sudah dipecat oleh media, kami beraksi dalam Liga Juara-Juara dan menang satu trofi," kata Allegri kepada Mediaset.

Penyerang Juventus, Dusan Vlahovic (kiri) menyepak masuk gol tunggal kemenangan ke atas Atalanta pada final Piala Itali di Stadio Olimpico, Rome awal pagi tadi. – Foto AFP
Penyerang Juventus, Dusan Vlahovic (kiri) menyepak masuk gol tunggal kemenangan ke atas Atalanta pada final Piala Itali di Stadio Olimpico, Rome awal pagi tadi. – Foto AFP

"Kami sudah melakukan segala-galanya yang patut kami lakukan, untuk layak ke Liga Juara-Juara dan mara ke final, pemain melakukan yang terbaik untuk memenanginya."

Atalanta diramal memenangi trofi utama pertama mereka sejak memenangi piala itu pada 1963 susulan musim mengagumkan buat kelab wilayah secara tradisi itu.

Bagaimanapun anak buah Gian Piero Gasperini gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan Juventus yang menyekat mereka daripada melakukan sebarang percubaan tepat ke arah gol.

Paling hampir Atalanta menyamakan kedudukan apabila percubaan Ademola Lookman terkena tiang gol ketika berbaki 10 minit permainan ditamatkan.

Atalanta kini mengalih tumpuan untuk meraih tempat ke Liga Juara-Juara menerusi Serie A dan final Liga Europa minggu depan.

Kelab dari Bergamo itu, yang menghuni tangga kelima liga utama Itali, berdepan Bayer Leverkusen di Dublin bagi final julung kali mereka di Eropah. – AFP

Berita Harian X