Khamis, 16 Mei 2024 | 6:41am
Pemain Chelsea, Cole Palmer menanduk masuk gol pertama menentang Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Amex, Brighton awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Chelsea, Cole Palmer menanduk masuk gol pertama menentang Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Amex, Brighton awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Chelsea lonjak ke tangga keenam Liga Perdana

BRIGHTON, England: Cole Palmer dan Christopher Nkunku meledak gol pada setiap babak bagi membantu Chelsea menang 2-1 ke atas Brighton awal pagi tadi, membolehkan kelab London itu menuju ke hari terakhir musim Liga Perdana Inggeris di tangga keenam.

Palmer menyempurnakan hantaran lintang Marc Cucurella dengan satu tandukan padu pada minit ke-34 untuk meraih gol ke-22 liga buatnya dalam musim sulung penuh bergaya sekali gus meletakkan pelawat di depan di Stadium Amex.

Nkunku pula bijak menampan masuk umpanan Malo Gusto pada minit ke-64 untuk menggandakan kelebihan Chelsea, tetapi mereka kehilangan pemain gantian Reece James yang dilayangkan terus kad merah kerana menendang Joao Pedro pada minit ke-88.

Danny Welbeck membalas satu gol buat tuan rumah apabila dia menyambut hantaran silang Pedro pada minit ketujuh masa kecederaan, namun Chelsea bertahan untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam liga buat kali pertama musim ini.

Cucurella, yang menerima sambutan buruk penyokong tuan rumah sekembalinya ke bekas kelab, berasakan dia sudah meraih sepakan penalti apabila dijatuhkan susulan sepakan sudut pada minit ke-15 namun keputusan itu diubah selepas semakan VAR.

Penyerang Chelsea, Christopher Nkunku (dua dari kanan) meraikan gol kedua pasukannya bersama Cole Palmer, Malo Gusto dan Noni Madueke ketika menentang Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Amex, Brighton awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Kemenangan membolehkan Chelsea berdepan aksi terakhir musim menentang Bournemouth Ahad ini dengan harapan masih menyala untuk layak ke Liga Europa di sebalik permulaan buruk kempen kali ini.

Anak buah Mauricio Pochettino memulakan musim dengan satu kemenangan dalam enam aksi pertama liga dan tiga dalam 10 pertama, tetapi berakhir dengan mantap apabila kalah sekali dalam 14 perlawanan terakhir liga mereka.

Brighton, yang menghuni tangga ke-10, menamatkan musim melayan kunjungan Manchester United. – REUTERS

Berita Harian X