Rabu, 15 Mei 2024 | 8:30am
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola. - Foto REUTERS
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola. - Foto REUTERS

Man City gelisah buru kejuaraan

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pemainya tidak boleh mengelak daripada perasaan gementar untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) keempat berturut-turut, Ahad ini.

City naik ke puncak liga dengan mendahului Arsenal dua mata hasil ledakan dua gol Erling Haaland pada separuh masa kedua ketika menewaskan Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.

Ia kali pertama anak buah Guardiola menang di Stadium Tottenham Hotspur dalam Liga Perdana walaupun tidak menampilkan persembahan terbaik mereka.

Selepas Haaland membuka tirai jaringan pada awal babak kedua, penjaga gol gantian Stefan Ortega terpaksa menyelamatkan tiga percubaan bahaya sebelum penyerang Norway itu mengesahkan kemenangan dengan menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.

City akan melayan kunjungan West Ham pada perlawanan terakhir liga, Ahad ini yang mana sekiranya gagal meraih kemenangan, ia akan membolehkan Arsenal merangkul kejuaraan sekiranya menewaskan Everton.

"Apabila anda bermain bola sepak dengan memikirkan kesan bahawa anda akan kehilangan Liga Perdana, anda tidak boleh beraksi pada tahap terbaik," kata Guardiola mengenai persembahan pasukannya.

"Namun, mereka adalah manusia, jadi saya faham tekanan yang ada. Perkara sama akan terjadi apabila menentang West Ham. Kami akan merasai tekanan."

Situasi sama dihadapi dua tahun lalu yang mana City terpaksa bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menewaskan Aston Villa 3-2 dan menafikan gelaran Liverpool.

"Mereka merasainya di sana dan mereka sedar. Mereka tidak meraikannya, ada kelegaan tetapi masih ada tugas yang perlu dilakukan," kata Guardiola.

"Pemain tenis berkata 'servis untuk memenangi Wimbledon adalah yang paling sukar'. (Kami perlu) bersedia dengan baik, fokus sepenuhnya dan cuba meraih kemenangan." - AFP

Berita Harian X