Isnin, 13 Mei 2024 | 6:26am
Pemain Arsenal, William Saliba dan Gabriel Magalhaes meraikan kemenangan 1-0 ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Arsenal, William Saliba dan Gabriel Magalhaes meraikan kemenangan 1-0 ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Arsenal kembali tekan City

MANCHESTER, England: Arsenal mengukuhkan impian menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menamatkan badi Old Trafford selepas menang 1-0 di Manchester United awal pagi tadi, kembali ke puncak carta liga sekali gus memastikan kejuaraan ditentukan pada minggu terakhir musim.

Leandro Trossard menyumbat gol tunggal kemenangan selepas 20 minit ketika Arsenal hanya menang kali kedua dalam 17 perlawanan di United untuk melonjak satu mata di depan.

Manchester City masih berpeluang menentukan kejuaraan secara sendirian ketika juara bertahan masih berbaki dua perlawanan berbanding Arsenal satu.

Bagaimanapun, The Gunners terus menekan anak buah Pep Guardiola menjelang kunjungan getir mereka ke Tottenham awal pagi Rabu ini.

"Sejarah kami tidak begitu manis (di sini) tetapi kami menemui cara untuk memenanginya dan ia membuktikan betapa pasukan ini terlalu inginkan kemenangan," kata bos Arsenal, Mikel Arteta.

Pemain Arsenal, Leandro Trossard (tiga dari kanan) menyumbat gol tunggal kemenangan ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Kami mahu mengetuk pintu itu dan membuka kotak impian di depan penyokong kami sendiri dengan peluang untuk memenangi Liga Perdana."

Arsenal akan menerima kunjungan Everton pada hari terakhir musim Ahad depan, manakala City melayan West Ham.

Kekalahan menyukarkan lagi peluang United untuk bertanding di Eropah musim depan.

Anak buah Erik ten Hag mempamerkan semangat lebih tinggi berbanding ketika dibelasah 4-0 oleh Crystal Palace minggu lalu, tetapi kini hanya menang sekali dalam lapan aksi terakhir EPL.

United kekal di tangga kelapan liga, tiga mata di belakang kedua-dua Newcastle, yang akan ditemui mereka awal pagi Khamis ini dan Chelsea. – AFP

Berita Harian X