Ahad, 12 Mei 2024 | 4:49pm
Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Abidin. NSTP/GHAZALI KORI
Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Abidin. NSTP/GHAZALI KORI

Kad merah 'bunuh' semangat Perak

KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui layangan kad merah diterima pemain importnya, Luiz Henrique 'membunuh' semangat anak buahnya untuk bangkit.

Jelas bekas pemain kebangsaan itu, beliau yakin anak buahnya mampu menghadirkan semangat melawan terutama mereka berjaya beberapa kali menembusi benteng pertahanan lawan.

"Boleh saya katakan pemain beraksi baik sehingga berjaya menyamakan kedudukan, namun kad merah yang diterima pemain bagaikan 'membunuh' saki baki perjuangan pasukan pada malam ini (malam tadi).

"Andainya kita beraksi dengan 11 pemain sehingga berakhir permainan, keputusan pasti berubah lebih-lebih lagi pemain berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol," kata Yusri ketika ditemui.

Pada aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi, impian The Bos Gaurus untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata berkecai selepas tumpas 3-1 kepada Terengganu FC (TFC).

Terdahulu tuan rumah meledak gol pertama menerusi Nurillo Tukhtasinov pada minit keenam sebelum pelawat berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti kapten, Guaycochea Luciano.

Pemain Perak FC, Shivan Pillay 'menghadiahkan' gol kedua tuan rumah sebelum pemain gantian TFC, Chuku Chijioke menambah derita pelawat dengan jaringan ketiga untuk merakam kemenangan 3-1.

Lebih parah Henrique diarahkan keluar padang oleh pengadil pada minit ke-76 selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Berita Harian X