Sabtu, 11 Mei 2024 | 11:05pm
Pemain Terengganu FC, Safawi Rashid (dua dari kiri) diasak pemain Perak FC, Lee Tar Min pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Abidin. NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC, Safawi Rashid (dua dari kiri) diasak pemain Perak FC, Lee Tar Min pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Abidin. NSTP/GHAZALI KORI

TFC bermula positif benam Perak FC

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) bermula positif pada aksi pembuka tirai Liga Super 2024/2025 selepas membenam cabaran Perak FC 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Kemenangan itu memastikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu tersenyum puas mengutip tiga mata biarpun terpaksa berhempas pulas sehingga pertengahan babak kedua.

Terdahulu pada perlawanan itu, TFC yang 'kehilangan' empat pemain tonggak akibat kecederaan mendapat gol pada minit keenam menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti Tukhtasinov.

Tersentak jaringan itu, anak buah Yusri Che Lah bangkit untuk menyamakan kedudukan, namun tandukan Firdaus Saiyadi pada minit ke-14 hanya sedikit tersasar di sebelah kanan gol tuan rumah yang dikawal Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Pada minit ke-38, skuad The Bos Gaurus sekali lagi berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain import, Luiz Henrique, bagaimanapun palang menjadi penghalang sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.

TFC berpeluang untuk menambah jaringan pada masa kecederaan pada babak pertama, tapi percubaan Manuel Ott terkena benteng pertahanan sebelum singgah di tiang.

Bersambung babak kedua, pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas Ott menjatuhkan Lee Tae Min dan sepakan yang diambil kapten, Guaycochea Luciano pada minit ke-60 berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

TFC yang beraksi di depan lebih 8,000 penyokong sendiri bagaimanapun tidak menunggu lama untuk sekali lagi berada di depan 2-1 menerusi jaringan sendiri Shivan Pillay pada minit ke-66 hasil hantaran silang pemain gantian, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Pada minit ke-76, Henrique diarahkan keluar padang oleh pengadil, Suhaizi Shukri selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari Nik Sharif Haseefy.

Pada minit ke-81, pemain yang baharu masuk kurang seminit, Chuku Chijioke menambah derita pelawat apabila mudah memperdaya penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli untuk mengukuhkan kedudukan 3-1 sehingga tamat perlawanan.

Berita Harian X