Jumaat, 10 Mei 2024 | 4:46pm
Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad (kanan) memberi penerangan kepada dua pemain skuad Tok Gajah. - Foto Sri Pahang FC
Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad (kanan) memberi penerangan kepada dua pemain skuad Tok Gajah. - Foto Sri Pahang FC

Sri Pahang waspada ancaman KDN FC

KUANTAN: Sri Pahang FC tidak memandang mudah perlawanan pertama Liga Super apabila melayan kunjungan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam esok.

Kapten skuad Tok Gajah, Fadhli Shas berkata, kemenangan 1-0 ke atas KDN FC pada aksi pramusim baru-baru ini bukan jaminan untuk mereka tidak berdepan masalah mengulangi keputusan itu.

"Secara peribadi, KDN FC memiliki barisan pemain yang mantap. Walaupun dibarisi pemain muda, tetapi mereka memiliki kualiti yang mampu memberi tentangan sengit.

"Oleh itu saya dan rakan sepasukan tidak boleh berasa terlalu yakin, sebaliknya perlu bekerja keras dan berwaspada dengan kekuatan yang dimiliki lawan.

"Kita boleh saksikan apabila KDN FC seri 0-0 ketika berdepan Terengganu FC pada aksi pramusim yang menunjukkan mereka juga berada pada prestasi terbaik," katanya.

Justeru, Fadhli yang beraksi di bahagian pertahanan berkata, Sri Pahang yang beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada musim 2024-2025 mengharapkan tuah pada aksi permuka tirai itu.

Katanya, dia dan rakan sepasukan akan berusaha membalas sokongan peminat dengan berusaha untuk meletakkan Sri Pahang mencapai kejayaan membanggakan musim ini.

"Kemasukan sembilan pemain baharu termasuk tiga import, kami mahu meraih keputusan dan pencapaian terbaik dalam Liga Super," katanya.

Berita Harian X