Jumaat, 10 Mei 2024 | 4:32pm
Pemain Terengganu FC, Safawi Rasid (dua kiri) idam tiga mata berdepan Perak FC pada aksi pertama Liga Super, malam esok. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC, Safawi Rasid (dua kiri) idam tiga mata berdepan Perak FC pada aksi pertama Liga Super, malam esok. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Terengganu idam kemenangan pertama

KUALA TERENGGANU: Tonggak baharu Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid percaya pasukannya mampu memperagakan aksi terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025.

Naib juara Piala Malaysia musim lalu itu dijadualkan menentang Perak FC dalam aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok tanpa khidmat tiga tonggak akibat kecederaan.

Safawi menjelaskan, barisan pemain skuad Penyu sudah bersedia sepenuhnya untuk memburu tiga mata pertama dalam perlawanan itu.

"Bermula pada minggu pertama hingga sekarang, kami semakin meningkat dan serasi. Kami senang berkomunikasi kerana saling memahami antara satu sama lain sekali gus mampu memantapkan lagi kombinasi.

"Malah ketika dalam latihan semua pemain berlatih bersungguh-sungguh untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Jadi, saya yakin rakan sepasukan dapat menguasai taktikal yang diterapkan jurulatih selain formasi kita pasti lebih baik lagi untuk meraih kemenangan.

"Pada masa sama saya tekad akan bagi yang terbaik, begitu juga rakan sepasukan yang lain. Kami akan beri aksi 100 peratus dengan masing-masing mengetahui tanggungjawab serta bermain sebagai satu pasukan," katanya.

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner 'kehilangan' tiga tonggak akibat kecederaan iaitu penyerang, Ivan Mamut dan pemain sayap, Akhyar Rashid serta pertahanan import baharu dari Belanda, Matthew Steenvoorden.

Namun berita gembira buat skuad itu apabila pemain pertahanan, Muhammad Azam Azmi Murad dan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim sudah pulih daripada kecederaan.

Ketika ditanya mampukah skuadnya melangkah lebih jauh lagi berbanding pada musim lalu, Safawi yang menyertai TFC secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) mahu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan kerana perjalanan liga masih jauh.

"Bagi saya kita perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Liga M musim ini termasuk Piala FA dan Piala Malaysia.

"Kita perlu lebih konsisten dalam setiap perlawanan, saya berasa semua pemain boleh bermain kerana masing-masing ada kualiti yang tersendiri," katanya.

Berita Harian X