Jumaat, 10 Mei 2024 | 12:54pm
Faisal Halim.
Faisal Halim.

Faisal nak balik

SHAH ALAM: "Saya nak balik." Itu antara luahan yang dilontarkan pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim selepas pemain itu selesai mengharungi pembedahan ketiga di sebuah hospital swasta, malam tadi.

Perkembangan itu dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar ketika ditemui media di perkarangan sebuah hospital swasta selepas melawat pemain itu, pagi tadi.

Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Shahril yang juga Ahli Lembaga Pengarah SFC itu menjelaskan pemain sayap Harimau Malaya itu terus menunjukkan perkembangan yang positif dan kini terus ceria apabila tidak boleh 'duduk diam' dalam bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) ketika ini.

"Dia 'steady' dan kata saya nak balik. Itulah semangat dia yang lain sikit sebab dia pun dah mula jalan dalam bilik sebab dia memang seorang yang aktif dan pemain bola sepak.

"Dia pun dah boleh pergi bilik air dengan sendiri dan bagi saya, ini sememangnya satu perkembangan yang positif untuk hari ini.

"Cuma apabila dia dah mula nak berjalan dan betul-betul bersemangat, itu sangat membanggakan. Mickey sentiasa jadi Mickey cuma pergerakannya agak terbatas dengan balutan di badannya," kata Shahril.

Sebahagian jemaah mengaminkan doa selepas menunaikan solat hajat anjuran Hot FM bagi memohon kesejahteraan dan kesihatan Faisal Halim di Masjid Ara Damansara, malam tadi. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Sebahagian jemaah mengaminkan doa selepas menunaikan solat hajat anjuran Hot FM bagi memohon kesejahteraan dan kesihatan Faisal Halim di Masjid Ara Damansara, malam tadi. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Terdahulu, Faisal yang mengalami lecur tahap empat kerana disimbah asid sulfurik selesai menjalani pembedahan ketiga membabitkan prosedur 'skin allograft' yang berlangsung selama kira-kira tiga jam.

Dalam perkembangan sama, Shahril percaya pemain itu dapat pulih lebih cepat dan situasi itu dibantu dengan kecekalan dan ketabahan ditunjukkan Faisal sepanjang menjalani rawatan setakat ini.

"Faisal ini istimewa dengan tempoh pemulihannya agak cepat. Kita berdoa semoga dia dapat pulih lebih cepat walaupun kita tahu perkara ini memang makan masa sedikit.

"Dia akan berada kira-kira tujuh hari dalam ICU dan kalau sesuai dan mendapat kebenaran doktor, kita akan pindahkannya ke Unit Dependensi Tinggi (HDU) dalam seminggu dua lagi.

"Harapan saya adalah dia dapat pulang masa Hari Raya Haji nanti," katanya.

Berita Harian X