Jumaat, 10 Mei 2024 | 9:32am
Pemain pertahanan Atalanta, Matteo Ruggeri (dua dari kiri) meraikan golnya bersama rakan sepasukan ketika menundukkan Marseille 3-0 pada separuh akhir kedua Liga Europa di Bergamo awal pagi tadi. – Foto AFP
Pemain pertahanan Atalanta, Matteo Ruggeri (dua dari kiri) meraikan golnya bersama rakan sepasukan ketika menundukkan Marseille 3-0 pada separuh akhir kedua Liga Europa di Bergamo awal pagi tadi. – Foto AFP

Atalanta cipta sejarah, layak final Liga Europa

BERGAMO, Itali: Atalanta meraih kemenangan terbesar dalam sejarah mereka awal pagi tadi apabila mereka membenam Marseille 3-0 sekali gus layak ke final Liga Europa.

Gol menerusi Ademola Lookman, lulusan akademi Matteo Ruggeri dan El Bilal Toure membantu Atalanta mara ke final Eropah sulung mereka dengan kemenangan 4-1 secara agregat di depan penyokong sendiri di Bergamo.

Atalanta memang berhak untuk beraksi pada final di Dublin, yang mana mereka akan bertemu Bayer Leverkusen hujung bulan ini, selepas satu persembahan dominan yang mana Marseille tidak mempunyai sebarang percubaan tepat ke arah gol dalam satu lagi persembahan buruk kelab Ligue 1 itu di gelanggang lawan.

Marseille hanya menang empat perlawanan di tempat lawan dalam semua pertandingan musim ini dan sebaik Ruggeri meletakkan Atalanta 2-0 pada minit ke-52, pasukan kendalian Jean-Louis Gasset tidak mampu lagi untuk mencabar dengan Toure melengkapkan jaringan pada masa kecederaan.

"Kami akan cuba menyukarkan mereka (Leverkusen), tetapi kami tidak mahu memikirkan mengenainya sekarang, kami perlu mendepani satu perlawanan pada satu masa," kata Ruggeri kepada Sky Sport.

"Harapnya kami boleh meneruskannya, kami hanya mahu bersuka ria ketika ini dan memberikan yang terbaik pada final nanti."

Atalanta, secara tradisinya pasukan wilayah di bawah kendalian Gian Piero Gasperini, kini boleh menamatkan musim dengan dua trofi apabila mereka berdepan Juventus pada final Piala Itali Rabu depan.

Ia satu pencapaian menakjubkan buat kelab yang hanya berbangga dengan trofi kejuaraan utama Piala Itali pada 1963, manakala mereka pergi jauh dalam pertandingan Eropah pada separuh akhir Piala Pemenang Piala 1988 ketika beraksi dalam divisyen dua.

Atalanta juga boleh layak ke Liga Juara-Juara yang dirombak semula musim depan menerusi Serie A ketika mereka kini menghuni tangga kelima di Itali dan tempat terakhir ke pertandingan utama kelab Eropah itu.

Mereka melayan kunjungan AS Roma, yang tumpas di tangan Leverkusen pada satu lagi separuh akhir, awal pagi Isnin ini pada perlawanan yang boleh menentukan pasukan mana yang berakhir dalam kelompok lima teratas. – AFP

Berita Harian X