Khamis, 9 Mei 2024 | 9:22pm
Manchester City kendalian Pep Guardiola (kanan) kini berpeluang memberikan tekanan ke atas Arsenal bimbingan Mikel Arteta (kiri) apabila juara bertahan itu memulakan aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini di Fulham. - Foto AFP
Manchester City kendalian Pep Guardiola (kanan) kini berpeluang memberikan tekanan ke atas Arsenal bimbingan Mikel Arteta (kiri) apabila juara bertahan itu memulakan aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini di Fulham. - Foto AFP

Giliran Man City beri Arsenal tekanan

LONDON: Selepas terpaksa mengekori rapat pendahulu Liga Perdana Inggeris sejak sebulan lalu, Manchester City kini berpeluang memberikan tekanan ke atas Arsenal apabila juara bertahan itu memulakan aksi hujung minggu di Fulham, Sabtu ini.

Tiga kemenangan liga terakhir ke atas Wolverhampton Wanderers, Nottingham Forest dan Brighton and Hove Albion hadir selepas Arsenal mengutip tiga mata untuk melebarkan jurang kepada empat mata di depan City kendalian Pep Guardiola.

Bagaimanapun aksi hujung minggu ini menyaksikan City akan turun bermain terlebih dahulu di Craven Cottage dengan kemenangan akan melonjak mereka ke puncak liga - dua mata di depan Arsenal dengan masing-masing berbaki dua perlawanan .

Arsenal akan kembali di puncak sekiranya berjaya menewaskan Manchester United pada Ahad.

Kali terakhir Arsenal bermain selepas City, ia tidak memihak kepada skuad kendalian Mikel Arteta apabila mereka tewas 2-0 kepada Aston Villa di laman sendiri, sehari selepas City membelasah Luton Town 5-1 untuk menerajui liga.

Arsenal kembali merampas takhta liga selepas itu tetapi hanya kerana City sibuk dengan aksi separuh akhir Piala FA dan bermain kurang satu perlawanan.

Sekiranya City dan Arsenal masing-masing merakam kemenangan, tumpuan akan terarah kepada perlawanan City menentang Tottenham pada Selasa yang akan meletakkan skuad Guardiola semakin hampir dengan kejuaraan liga keempat berturut-turut.

Senario seperti ini bukan perkara baharu buat City. Mereka cukup pakar dalam memburu kejuaraan di akhir kempen Liga Perdana Inggeris.

Mereka belum tewas dalam 20 perlawanan terakhir liga dan sembilan mata terakhir yang perlu dikutip seakan sudah berada dalam genggaman.

Arsenal perlu memenangi baki dua perlawanan dan berharap City akan tercicir mata dalam salah satu daripada tiga perlawanan terakhir mereka.

Ketika City diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menewaskan Fulham, Arsenal pula berdepan tugas berat menentang anak buah Erik ten Hag yang dimalukan Crystal Palace 4-0 pada perlawanan sebelum ini.

Kepulangan kapten Bruno Fernandes dan Scott McTominay ke dalam skuad pasti akan membangkitkan semangat United ketika melayan kunjungan Arsenal di Old Trafford. - REUTERS

Berita Harian X