Khamis, 9 Mei 2024 | 8:34pm
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya (tengah) menerima jersi baharu Sabah FC yang diberi nama ‘Tagap’ daripada Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid pada Majlis Pelancaran Jersi Sabah FC Musim 2024-25. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya (tengah) menerima jersi baharu Sabah FC yang diberi nama ‘Tagap’ daripada Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid pada Majlis Pelancaran Jersi Sabah FC Musim 2024-25. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Pemain Sabah FC memperagakan jersi baharu skuad Sang Badak yang diberi nama ‘Tagap’ pada Majlis Pelancaran Jersi Sabah FC Musim 2024-25. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Pemain Sabah FC memperagakan jersi baharu skuad Sang Badak yang diberi nama ‘Tagap’ pada Majlis Pelancaran Jersi Sabah FC Musim 2024-25. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

Sabah FC tampil dengan 'Tagap' musim ini

KOTA KINABALU: Sabah FC hari ini melancarkan jersi baharu untuk aksi perlawanan di laman sendiri dinamakan 'Tagap' yang bermaksud sasa atau kuat bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Jersi berwarna merah keluaran Lotto itu bakal menjadi jersi rasmi skuad Sang Badak setiap kali melayan kunjungan lawan di Stadium Likas bermula dengan pasukan Pulau Pinang FC pada 12 Mei ini.

Pelancaran jersi skuad Sang Badak itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Beliau menyifatkan jersi baharu itu sebagai penyuntik semangat bukan saja kepada pemain Sabah FC, malah peminat bola sepak yang mahu melihat pasukan kesayangan mereka tampil lebih bertenaga musim ini.

"Ini adalah saat yang ditunggu-tunggu bukan saja dalam kalangan pemain dan pengurusan Sabah FC tetapi juga penyokong dan peminat Sabah FC.

"Saya berharap dengan pelancaran jersi baharu ini, akan menyuntik semangat pemain untuk bermain dengan lebih baik pada musim ini.

"Jersi baharu yang dilancarkan ini dinamakan Tagap, sesuai dengan makna sebutan itu dalam kalangan orang Sabah yang bermaksud 'fit'," kata Shahelmey.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada penaja Sabah FC musim ini, Jetama Sdn Bhd, Al-Ikhsan, Sabah Energy Sdn Bhd, Asian Supply Base Sdn Bhd, Sabah Credit Corporation dan Qhazanah Sabah Berhad selain beberapa lagi syarikat yang menjadi rakan strategik atas sokongan kepada pasukan.

Sementara itu, Shahelmey mengingatkan penyokong dan peminat setia Sabah FC supaya menyokong pasukan dengan membeli jersi atau barangan asli yang dijual pasukan.

"Kita mohon kepada penyokong dan peminat setia Sabah FC supaya membeli barangan 'original' kerana dengan itu bukan saja peminat dapat barang berkualiti, tapi juga sebagai sumbangan kepada Sabah FC.

"Kita ada dengar banyak kelab menghadapi masalah kewangan dalam pengurusan dan operasi kelab, jadi dengan membeli barang 'original' sedikit sebanyak penyokong bukan saja dapat menzahirkan sokongan secara fizikal tetapi juga secara kewangan," katanya.

Jelasnya, walaupun jumlah kewangan yang disumbangkan melalui pembelian barangan asli pasukan kecil, ia tetap bermakna dan boleh menjadi nilai yang besar berdasarkan jumlah peminat yang ramai.

Beliau mengulas perkara itu ketika ditanya mengenai isu jersi tiruan yang masih dihadapi pasukan bola sepak, menyebabkan sumbangan menerusi jualan jersi asli masih kecil.

Berita Harian X