Khamis, 9 Mei 2024 | 7:05pm
Pertahanan KDA FC, Rizal Ghazali yakin dengan perancangan diatur pengendali, Nafuzi Zain. - Foto KDA FC
Pertahanan KDA FC, Rizal Ghazali yakin dengan perancangan diatur pengendali, Nafuzi Zain. - Foto KDA FC

Taktikal Nafuzi mudah diserap pemain - Rizal

ALOR SETAR: Tonggak pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rizal Ghazali yakin perancangan pengendali, Nafuzi Zain mampu memberi impak terbaik buat skuad Sang Kenari pada saingan Liga Super musim baharu yang akan bermula Sabtu ini.

Rizal yang beraksi di posisi bek kanan kental bakal bergandingan dengan Jose Cleylton, Akmal Zahir, Irfan Zakaria, Ariff Farhan dan Zamri Pin di bahagian benteng KDA FC.

Menurut pemain pertahanan penuh berpengalaman Kedah berusia 31 tahun itu, taktikal yang disajikan Nafuzi pada musim ini memilki kekuatan yang mampu diserap dengan mudah oleh pemain baharu atau lama.

"Setiap jurulatih memiliki corak taktikal tersendiri yang bagus dan mampu mengubah kekuatan sesuatu pasukan.

"Saya yakin apa yang diterapkan pengendali Kedah, Nafuzi Zain pada musim ini mudah untuk kami semua laksanakan dan kami mampu menjadi skuad lebih baik berbanding musim lalu.

"Saya bersemangat untuk memulakan aksi bersama Kedah yang pernah menaikkan nama saya sebelum ini. Saya lebih bersemangat lagi apabila akan kembali beraksi di depan 'orang kampung' sendiri dengan memakai jersi pasukan Kedah.

"Apapun, saya dan rakan seperjuangan sentiasa mendoakan kejayaan perjuangan kami dalam misi membawa pulang tiga mata penting dalam aksi pertama menentang PDRM FC di tempat lawan pada Sabtu ini," kata Rizal selepas sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) semalam.

Rizal berkata, dia memberi aksi terbaiknya di benteng Kedah bagi memastikan misi pasukan menjadi kenyataan musim ini.

"Kami bedepan sebuah pasukan yang mampu memberi tentangan hebat sejak musim lepas lagi, dan ini diperkuat dengan kehadiran beberapa pemain yang hebat pada musim ini termasuk bekas penyerang Kedah, Ifedayo.

"Jadi kami perlu sentiasa bekerja keras dan beri tumpuan terbaik terhadap arahan jurulatih sepanjang perlawanan itu bagi memastikan impian tiga mata kami menjadi kenyataan," katanya.

Berita Harian X