Rabu, 8 Mei 2024 | 10:52am
Selangor FC (SFC) melancarkan solidariti untuk pemain bintangnya, Faisal Halim. - Foto SFC
Selangor FC (SFC) melancarkan solidariti untuk pemain bintangnya, Faisal Halim. - Foto SFC

Selangor FC lancar solidariti buat Faisal Halim

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) melancarkan solidariti untuk pemain bintangnya, Faisal Halim yang ketika ini sedang bertarung dengan kesakitan susulan disimbah asid, Ahad lalu.

Solidariti itu dilancarkan 'The Red Giants' menerusi satu kenyataan di laman rasminya, malam tadi.

"Tiada ruang untuk keganasan dalam sukan yang kita cintai ini. Bola sepak adalah sukan yang menyatukan dan bukan untuk memecahbelahkan kita.

"Pemain-pemain bola sepak berusaha dan bekerja keras untuk kita. Seperti mana-mana atlet lain, Faisal Halim, tiada bezanya. Beliau sudah memberikan segalanya untuk kita meraikan kegembiraan bersama.

"Bukan sahaja untuk kelab, malah di peringkat kebangsaan. Paling diingati, baru-baru ini, gol ikoniknya menentang Korea Selatan dalam Piala Asia AFC 2023, membawa sorakan paling gemuruh di tanah air," kata SFC.

Justeru, pasukan itu mengharapkan supaya semua penyokong dapat mendoakan keadaan pemain sayap kebangsaan itu yang ketika ini terpaksa menjalani beberapa pembedahan selepas mengalami lecur tahap empat.

"Kini, giliran kita pula untuk memberi sokongan padu kepada wira negara kita. Mari berdiri teguh di belakang insan yang mempunyai impian yang besar dalam bola sepak. Ini bukan sekadar bola sepak tetapi ini tentang perihal kemanusiaan.

"Sebagai tanda solidariti bersama Faisal Halim, kami di SFC ingin menyeru orang ramai untuk membanteras keganasan dalam apa jua bentuk. Tiada tempat untuk keganasan.

"Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan beliau dan semoga beliau cepat pulih sediakala," kata pasukan itu.

Sebagai rekod, Faisal yang lebih mesra disapa 'Mickey' itu kini semakin stabil selepas melakukan pembedahan kedua di hospital swasta di Shah Alam, petang semalam.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Shahril berkata, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey menjalani pembedahan kedua selama tiga jam bagi memulihkan kecederaan akibat disimbah asid baru-baru ini.

Berita Harian X