Rabu, 8 Mei 2024 | 8:00am
Pengendali Paris Saint-Germain, Luis Enrique (kanan) dan penyerangnya, Kylian Mbappe selepas aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Borussia Dortmund di Parc des Princes, Paris. - Foto AFP
Pengendali Paris Saint-Germain, Luis Enrique (kanan) dan penyerangnya, Kylian Mbappe selepas aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Borussia Dortmund di Parc des Princes, Paris. - Foto AFP

Enrique terima kekalahan 'tidak adil'

PARIS: Pengendali Paris Saint-Germain, Luis Enrique berkata dia tetap bangga dengan pasukannya walaupun tewas secara 'tidak adil' di tangan Borussia Dortmund pada separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

PSG terlepas peluang mara ke final di Wembley pada 1 Jun selepas tewas 1-0 pada aksi timbal balik di Parc des Princes dan 2-0 secara agregat.

"Perasaan saya sekarang hanyalah kesedihan. Tiada yang lain. Kami tidak berjaya mencapai objektif kami," kata Enrique, yang pernah membawa Barcelona muncul juara pada tahun 2015.

Menurut Enrique, empat kali percubaan PSG terkena tiang di babak kedua aksi di Paris, nasib sama menimpa mereka ketika tewas 1-0 pada perlawanan pertama di Munich.

"Saya tidak rasa kami gerun dengan pertemuan ini. Percubaan kami terkena tiang sebanyak enam kali. Kadang kala bola sepak tidak adil - kami mempunyai 31 percubaan tetapi gagal menjaringkan sebarang gol.

"Bola sepak tidak adil kepada kami dalam pertembungan ini. Kami perlu menerimanya, tahniah kepada pasukan yang mara ke final, ratapi kekalahan ini dan kemudian lupakan kekecewaannya.

"Saya bangga dengan pasukan saya, tidak ragu-ragu lagi. Saya yang pertama sekali bertanggungjawab di atas kekalahan ini sebagai jurulatih, tetapi saya gembira dengan sikap pemain-pemain," katanya.

PSG berharap dapat mara ke final Liga Juara-Juara Eropah buat kali kedua dalam sejarah kelab dan memenanginya buat pertama kali.

Kini mereka terpaksa berpuas hati dengan memenangi kejuaraan domestik di Perancis.

PSG sudah mengesahkan gelaran Ligue 1 dan akan bertemu Lyon di final Piala Perancis pada 25 Mei - perlawanan terakhir Kylian Mbappe untuk kelab. - AFP

Berita Harian X