Selasa, 7 Mei 2024 | 10:12am
Real Madrid kendalian Carlo Ancelotti (kanan) terikat 2-2 dengan Bayern Munich bimbingan Thomas Tuchel (kiri) pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah. - Foto AGENSI
Real Madrid kendalian Carlo Ancelotti (kanan) terikat 2-2 dengan Bayern Munich bimbingan Thomas Tuchel (kiri) pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah. - Foto AGENSI

Ancelotti cari formula singkir Bayern

MADRID: Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti sedang mencari formula untuk meningkatkan persembahan pasukannya bagi mengatasi Bayern Munich di separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah.

Pengendali dari Itali mengakui ketika seri 2-2 pada aksi pertama di Munich minggu lalu, Real gagal beraksi pada tahap terbaiknya walaupun keputusan itu masih positif.

"Bayern sangat bahaya, mereka pada tahap terbaik mereka tetapi kami tidak - kami masih mempunyai masa untuk meningkatkannya," kata Ancelotti.

Dua gol jaringan Vinicius Junior memastikan keputusan seri di Allianz Arena minggu lalu.

Madrid mengesahkan kejuaraan La Liga selepas menewaskan Cadiz 3-0 pada Sabtu, tetapi Los Blancos belum bersedia meraikannya kerana memberi tumpuan kepada aksi Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami ingin meraikannya dengan penyokong-penyokong, tetapi mereka faham Rabu ini kami mempunyai tugas lebih penting," tambah pengendali itu.

Madrid kini mensasarkan kejuaraan berganda La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah kelima mereka.

Ancelotti sudah memenangi 12 piala di Madrid dan hampir menyamai pendahulu sepanjang zaman, Miguel Munoz yang mengumpul 14 kejuaraan antara tahun 1960 hingga 1972.

Untuk mara ke final di Wembley, Ancelotti perlu mencari jalan bagi menghalang pemain-pemain sayap Bayern, Leroy Sane dan Jamal Musiala yang kerap memberikan masalah pada perlawanan separuh akhir di Allianz Arena. - AFP

Berita Harian X