Selasa, 7 Mei 2024 | 9:10am
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane diharap mampu menebus kekecewaan kelab dalam saingan Bundesliga musim ini. - Foto AFP
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane diharap mampu menebus kekecewaan kelab dalam saingan Bundesliga musim ini. - Foto AFP

Kane harapan Bayern benam Real

BERLIN: Juara enam kali Liga Juara-Juara Eropah, Bayern Munich akan bertandang ke laman Real Madrid untuk aksi timbal balik separuh akhir esok (awal pagi Khamis).

Skuad kendalian Thomas Tuchel kini mengharapkan penyerangnya, Harry Kane mampu menebus kekecewaan kelab di Bundesliga dengan menempah tiket ke final kejohanan Eropah itu.

Bayern masih belum mempunyai calon pengganti pengendali untuk musim depan, dengan Julen Lopetegui antara nama terkini yang menolak tawaran gergasi Jerman itu, sebaliknya memilih West Ham.

Bayern seri 2-2 di laman sendiri menentang Real pada aksi separuh akhir pertama dan perlu menang untuk mara ke Wembley, gelanggang yang menyaksikan kemenenangan mereka ke atas Borussia Dortmund pada tahun 2013.

Dengan Dortmund mempunyai kelebihan 1-0 menjelang aksi separuh akhir kedua di Paris Saint-Germain awal pagi esok, peluang untuk final antara dua kelab Jerman bakal berulang.

Kemaraan ke final Liga Juara-Juara sudah cukup untuk mengubah nasib Bayern, apatah lagi memenanginya.

Kane, pemain yang belum pernah menjulang trofi kejuaraan pasukan walaupun dihiasi anugerah individu, meninggalkan Tottenham musim lalu dengan harapan dapat meneruskan penguasaan Bayern dalam saingan Bundesliga.

Bagaimanapun kemenangan 11 musim berturut-turut Bayern di Bundesliga tersekat musim ini apabila Bayer Leverkusen di bawah kendalian Xabi Alonso muncul juara bulan lalu.

Kegagalan Bayern dalam saingan domestik Piala Jerman juga membantutkan harapan Kane untuk menjulang trofi bersama pasukan, dengan harapan tunggal musim ini ialah menerusi Liga Juara-Juara Eropah.

Kane kini sudah meledak 44 gol dalam 44 perlawanan untuk Bayern musim ini. - AFP

Berita Harian X