Isnin, 6 Mei 2024 | 8:49pm
Pemain Sri Pahang FC menjalani latihan bagi menghadapi aksi pertama Liga Super musim ini. - Foto FB Sri Pahang FC
Pemain Sri Pahang FC menjalani latihan bagi menghadapi aksi pertama Liga Super musim ini. - Foto FB Sri Pahang FC

Sri Pahang usah terlalu yakin

KUANTAN: Sri Pahang FC tidak boleh terlalu yakin dan selesa selepas menamatkan lima aksi pramusim dengan empat kemenangan dan sekali tewas sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (liga M) musim 2024/2025.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang mahu anak buah Fandi Ahmad mengekalkan fokus dan memastikan kemenangan pada perlawanan pertama berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Sabtu ini.

"Kelab berbangga dengan keputusan yang diraih tetapi pemain Sri Pahang tidak boleh berasa selesa kerana misi utama pasukan ialah melakar pencapaian terbaik dalam saingan Liga M, khususnya Liga Super musim baharu ini.

"Pada masa sama, semua pasukan melakukan persiapan mereka untuk meraih keputusan terbaik dan begitu juga Sri Pahang yang diharap mencapai sasaran tiga teratas Liga Super.

"Segalanya sudah dilakukan termasuk menyenaraikan beberapa pemain baharu termasuk tiga import yang diharap meletakkan kedudukan lebih baik," katanya.

Berdasarkan rekod lima aksi pramusim, skuad Tok Gajah menewaskan dua kelab Singapura iaitu Albirex Niigata 1-0 dan Geylang International FC (1-0).

Ia disusuli kemenangan ke atas KDN FC (1-0) dan Putrajaya Athletic FC (6-1) manakala satu tewas kepada Terengganu FC (TFC) (0-1).

Musim baharu ini menyaksikan Sri Pahang hanya mendaftarkan enam import, termasuk tiga import baharu.

Berita Harian X