Ahad, 5 Mei 2024 | 9:01pm
Ridzuan turut senada dengan Khairy yang mahukan ‘angin perubahan’ dalam FAM.
Ridzuan turut senada dengan Khairy yang mahukan ‘angin perubahan’ dalam FAM.

Calon presiden FAM mesti berpengaruh, berpengalaman - Ridzuan

KUALA LUMPUR: Tidak kisah dari mana seseorang itu datang sekalipun namun tokoh yang layak memegang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memiliki dua ciri utama iaitu berpengaruh dan berpengalaman luas dalam bola sepak.

Itu pandangan bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad yang melihat dua kriteria itu begitu penting sebagai Presiden FAM kerana 'orang bola sepak' sahaja tidak mencukupi untuk mengubah landskap bola sepak negara dengan berkesan.

Jelasnya, individu yang berhasrat untuk menjadi Presiden FAM juga perlu memiliki semangat yang tinggi untuk meningkatkan kualiti bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi daripada sedia ada.

"Nak ambil calon korporat pun bagus juga tetapi perlulah betul-betul minat bola sepak. Tetapi kalau calon korporat ini tiada jawatan lagi, apa akan jadi? Sebab itulah kita perlukan orang yang berkebolehan dan ada pengaruh tersendiri.

"Contohnya mereka ini ada pengaruh dengan banyak pihak dan mudah untuk dapatkan sokongan dari segi kewangan misalnya, jadi ini akan memudahkan mereka untuk buat kerja. Mudah nak dapatkan sumbangan berjuta-juta ringgit.

"Bukan setakat berpengaruh, saya fikir mereka juga perlu ada pengalaman dalam bola sepak juga. Selain itu, mereka ada daya kepemimpinan untuk mentadbir dengan baik.

"Kita pun tengok Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), mereka bukan orang korporat tetapi mereka ada pengaruh dan pengalaman dalam bola sepak," katanya kepada BH Sukan.

Dalam perkembangan sama, Ridzuan turut senada dengan seorang lagi bekas Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahukan 'angin perubahan' dalam badan induk itu selepas ini.

"Dulu kita lebih baik berbanding Korea Selatan dan Jepun tetapi selepas itu, mereka rombak pengurusan mereka dan lantik pemimpin yang lebih dinamik dan akhirnya, bola sepak mereka berubah wajah.

"Sebab itulah kita perlu ambil langkah yang sama untuk mengubah landskap bola sepak kita. Barisan kepemimpinan sekarang pun sudah buat kerja mereka tetapi tidak mencukupi kerana kita mahukan lebih lagi.

"Kalau kita tiada pemimpin yang lebih dinamik, kita akan berada dalam keadaan yang sama seperti sekarang. Kalau setakat nak urustadbir (FAM), sesiapa pun boleh," katanya.

Terdahulu, isu penyebaran 'surat layang' baru-baru ini ternyata memberi tamparan buat FAM apabila kini timbul gesaan supaya presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin meletakkan jawatan selepas enam tahun menerajui badan induk itu.

Susulan itu, bekas Menteri Belia dan Sukan dan Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui sudah tiba masanya untuk peralihan kepimpinan dilakukan dalam FAM.

Hamidin bagaimanapun menegaskan beliau sentiasa terbuka jika ada mana-mana tokoh mahu bertanding untuk merebut jawatan itu pada kongres pemilihan badan induk itu yang akan datang.

Sementara itu, pemerhati bola sepak, Prof Madya Dr Zulakbal Ab Karim mengharapkan mana-mana calon mudah bekerjasama dan tidak malu 'menuntut' ilmu dengan pihak yang memiliki pengalaman luas dalam bola sepak.

Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu turut melihat calon perlu mudah untuk didekati serta terbuka menerima pandangan daripada pelbagai pihak.

"Memang betul kita perlukan orang yang ada pengaruh dan pengalaman tetapi lebih manis kalau bakal calon itu mempunyai keinginan untuk berdampingan dengan orang yang berpengetahuan dalam bola sepak.

"Ini secara tidak langsung dapat membantu menambahkan lagi pengetahuan mereka dan jangan ketepikan kelompok ini kalau kita mahu mendapatkan kemajuan.

"Mereka juga perlulah mudah didampingi dan berpandangan terbuka untuk menerima apa sahaja input bermanfaat untuk membantu bola sepak kita," katanya.

Berita Harian X