Ahad, 5 Mei 2024 | 8:56pm
Hamidin ditemubual selepas melawat Faisal di hospital. - Foto Amirul Fazli Zulkafli
Hamidin ditemubual selepas melawat Faisal di hospital. - Foto Amirul Fazli Zulkafli

Keadaan Faisal menyedihkan - Hamidin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sedih atas apa yang berlaku kepada pemain Harimau Malaya, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbah asid petang tadi.

Beliau juga memaklumkan keadaan pemain Selangor FC (SFC) itu ketika ini kurang baik dan berharap pemain yang dinobatkan sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu segera pulih selepas mendapatkan rawatan.

"Kondisi dia cukup saya katakan menyedihkan tapi saya berharap Faisal, isteri dan keluarga akan tabah akan dugaan ini. Bahagian kaki dia nampak ok tiada apa-apa. Bahagian tangan kiri, badan belah kiri rusuk dan bahu yang cedera.

"Saya katakan kepada dia agar melupakan seketika bola sepak dalam tempoh beberapa bulan yang mendatang untuk dia sembuh sepenuhnya daripada asid yang terkena badannya," katanya ketika hadir melawat Faisal di hospital.

Pada masa sama, Hamidin juga menyeru kepada semua pemain bola sepak Malaysia sentiasa menjaga diri agar perkara buruk itu tidak berulang.

Terdahulu, tidak sampai seminggu selepas insiden pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun, satu lagi insiden mengejutkan terjadi membabitkan Faisal.

Menerusi maklumat dan gambar yang tular di laman media sosial, pemain itu disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara.

Perkembangan mengenai insiden itu turut disahkan SFC menerusi satu kenyataan, sebentar tadi.

"Dukacita dimaklumkan bahawa pemain SFC, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid petang tadi.

"SFC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat," menurut kenyataan SFC itu.

Berita Harian X